RAUB: Sejak ditemukan minggu lalu, buah durian yang aneh dan unik, spesies ‘durian kura-kura’ mendapat perhatian ramai, malah buahnya kini semakin berkurangan.
Ketika mula ditemukan di Kampung Sengkela dekat sini, terdapat 60 biji buahnya tetapi sekarang cuma tinggal 13 biji berada di pangkal pokok.
Durian kura-kura ini menjadi fenomena baharu selepas beritanya tersiar di akhbar Utusan Malaysia kelmarin malahan tular di laman sosial Facebook, ramai peminat durian berpusu-pusu ke kampung tersebut untuk melihat lebih dekat durian aneh itu.
Penduduk Kampung Sengkela, Khalid Bahauddin, 59, berkata, ada penduduk yang datang mengambil pada waktu malam, manakala selebihnya beberapa agensi kerajaan serta para penyelidik bidang pertanian dan botani juga datang untuk membuat kajian biologi mengenai buah tersebut.
Katanya, sejak disiarkan akhbar Utusan Malaysia dan tular di laman sosial, ramai orang datang dari sekitar daerah ini malahan dari Lembah Klang, malah dari negara luar, Filipina untuk melihat buah itu.
“Pagi ini saya datang melihat pangkal pokok durian kura-kura cuma berbaki 13 biji sahaja lagi berbanding sebelum ini lebih 60 biji kerana diambil oleh individu yang tidak dikenali pada waktu malam.
“Buah yang unik ini juga dipetik oleh beberapa agensi kerajaan termasuk seorang pakar buah durian dari Kuala Lumpur untuk membuat penyelidikan,” katanya ketika ditemui di Kampung Sengkela hari ini.
Menurut Khalid, individu yang mengambil pada waktu malam kemungkinan semata-mata untuk mengetahui keseluruhan dan merasai isi buah tersebut di samping ada sesetengahnya bagi tujuan untuk perubatan tradisional.
“Saya berterima kasih kepada kakitangan Jabatan Pertanian Raub yang datang membuat pagar mengepung saki baki buah durian ini untuk keselamatan di samping membolehkan kajian spesies ini terus dilakukan serta boleh dilihat oleh orang ramai,” katanya. – UTUSAN