IPOH: Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan lebih 6,000 keping duit syiling peringatan bersempena ulang tahun ke-50 Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Ketua Pengarahnya, Datuk Azulita Salim berkata, duit syiling peringatan emas itu dikeluarkan dengan nilai RM10 di mana jualannya bermula bulan hadapan.
“Sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK), BNM mengeluarkan syiling khas sempena 50 tahun LPP yang disambut Februari lalu.
“Duit syiling ini telah dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan ia boleh dibeli melalui BNM pada awal Disember depan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Syiling Peringatan LPP50 sempena HPPNK di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Menurut beliau, pengeluaran khas duit syiling tersebut sebagai mengenang jasa peladang, penternak dan nelayan yang telah bertungkus lumus membangunkan sektor pertanian negara.
Katanya, selain jualan kepada orang awam, keutamaan juga diberi kepada golongan peladang, penternak dan nelayan untuk mendapatkan duit syiling berkenaan yang boleh disimpan sebagai kenangan.
“Di negara ini, kita ada lebih kurang 900,000 orang yang mendaftar sebagai LPP. Jadi, bagi mereka yang telah menjadi ahli berpuluh tahun, ini adalah kenangan yang boleh mereka simpan,” katanya. – UTUSAN