Dua maut motosikal dinaiki dirempuh kereta dipandu remaja bawah umur - Utusan Malaysia

Dua maut motosikal dinaiki dirempuh kereta dipandu remaja bawah umur

KEADAAN kereta dan motosikal yang terlibat dalam kemalangan maut yang meragut dua nyawa di Jambatan Pulau Pinang, awal pagi tadi. Gambar/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Dua individu maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta yang didakwa dipandu laju oleh seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.

Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Nabil Zikry dan Sabrina yang kedua-duanya berusia awal 20-an meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala serta beberapa anggota badan lain.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kejadian itu berlaku di Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai, kira-kira pukul 2.30 pagi tadi.

KEADAAN kereta dan motosikal yang terlibat dalam kemalangan maut yang meragut dua nyawa di Jambatan Pulau Pinang, awal pagi tadi. Gambar/MEDIA SOSIAL

Menurut beliau, kejadian bermula apabila kereta yang dipandu remaja terbabit yang dari arah pulau terlanggar belakang sebuah lori.

“Kejadian itu menyebabkan pemandu berkenaan terbabas sebelum hilang kawalan dan terus melanggar motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik di Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Cheng San berkata, pemandu kereta terbabit yang hanya mengalami kecederaan ringan direman selama sehari oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi membantu siasatan.

“Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas beliau.

Tambah Cheng San, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Abd Razak di talian 013-4774542 atau 04-5382222,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya