Ditimpa tiang rasuk seberat 14 tan, sepanjang 12 meter - Utusan Malaysia

Ditimpa tiang rasuk seberat 14 tan, sepanjang 12 meter

SERAMAI sembilan mangsa dikhuatiri terperangkap selepas sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan runtuh dalam kejadian di Bayan Lepas, Pulau Pinang, kira-kira pukul 9.58 malam tadi. - Pic: IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Sembilan buruh binaan warga Bangladesh ditimpa tiang rasuk seberat 14 tan dan sepanjang 12 meter dalam kejadian runtuhan di tapak pembinaan sebuah gudang di Batu Maung, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.58 malam tadi itu, tiga disahkan maut iaitu masing-masing dua di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, setakat pukul 2 pagi tadi juga, dua mangsa mengalami kecederaan parah manakala empat lagi dikhuatiri masih tertimbus.

MOHAMED USUF JAN Mohamad dalam sidang akhbar berkenaan kejadian runtuhan di tapak pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Pinang, awal pagi tadi. – Pic: IQBAL HAMDAN

Jelas beliau, berdasarkan siasatan awal, kejadian itu berlaku ketika kesemua mangsa sedang bekerja di tapak pembinaan tersebut sebelum salah satu tiang rusuk secara tiba-tiba tumbang.

Katanya, tiang rusuk itu kemudiannya menimpa sekurang-kurangnya 14 lagi tiang rusuk lain sebelum jatuh dan menimpa kesemua mangsa yang sedang bekerja di bawahnya.

“Pasukan bomba dan para penyelamat sedang berusaha termasuk dengan bantuan kren untuk keluarkan mangsa yang kita percayai masih ada empat orang lagi untuk kita selamatkan.

“Operasi menyelamat hari ini melibatkan seramai 80 orang termasuk anggota bomba dan petugas kesihatan,” katanya kepada pemberita di sini awal hari ini.

SALAH seorang mangsa runtuhan di tapak pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Pinang dibawa ke hospital awal pagi tadi. – Pic: IQBAL HAMDAN

Dalam pada itu, Mohamed Usuf Jan berkata, operasi menyelamat tidak akan dihentikan sehingga semua mangsa berjaya ditemukan.

Tambahnya, bantuan dua buah kren juga terpaksa digunakan untuk mengangkat tiang-tiang rasuk yang mana mangsa-mangsa yang masih gagal dikesan dipercayai berada di bawah tiang rasuk berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Ts. Zulfahmi Sutaji berkata, pihaknya terpaksa menggunakan jentera berat termasuk kren dalam operasi tersebut bagi membolehkan pasukan penyelamat dapat ke lokasi mangsa-mangsa yang masih tertimbus.

“Kesukaran kita setakat ini disebabkan lokasi kejadian melibatkan struktur-struktur konkrit yang besar dan berat yang memerlukan jentera dan mesin untuk mengangkat dan membersihkan kawasan supaya para penyelamat dapat akses ke lokasi-lokasi mangsa.

“Kita juga akan mendapatkan bantuan anjing pengesan (K9) sekiranya dikhuatiri ada mangsa yang tidak dilaporkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya