Didik anak Orang Asli perjuangan terakhir seorang guru

Didik anak Orang Asli perjuangan terakhir seorang guru

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Tahun 2023 kepada Zulkifli Ahmad pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak Tahun 2023 di Ipoh semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mendidik anak-anak Orang Asli menjadi perjuangan terakhir buat, Zulkifli Ahmad, sebelum menamatkan lebih 30 tahun karier perguruannya pada Jun tahun depan.

Beliau yang merupakan penerima Anugerah Tokoh Guru Tahun 2023 dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak Tahun 2023, memulakan kerjaya sebagai seorang guru pada 1 Jun 1991.

Zulkifli, 59, yang kini merupakan Pengetua Sekolah Menengah Agama Rakyat Nurul Hidayah di Kampung Orang Asli Kenang, Sungai Siput, Perak berkata, beberapa tahun lalu dirinya sendiri memohon untuk menjadi Pengetua di situ bagi membantu pelajar Orang Asli dalam pendidikan.

Jelasnya, mengajar di sekolah itu mempunyai cabaran tersendiri terutama bagi memastikan mereka tidak terkeluar daripada landasan pendidikan.

“Saya hendak kongsikan pengalaman dalam bidang pendidikan. Satu tempat yang baru mencabar dan berasa puas dapat berkongsi ilmu dengan masyarakat Orang Asli.

“Taraf pendidikan dan persekitaran mereka itu mungkin tidak seperti di luar (bandar). Saya sukakan cabaran. Saya tawarkan diri dan tukar cara. Kalau di tempat lain mungkin harapkan bilangan A dalam peperiksaan.

“Tetapi di sini, kita tukar pendekatan. Paling tidak, yang pertama mereka hadir mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Anak jati Kuala Kangsar itu berkata, untuk memastikan pelajar hadir SPM juga adalah satu cabaran dan perkara itu diutamakan sebelum sasaran lain seperti mencapai gred lulus dalam mata pelajaran teras.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima hadiah kemuncak dalam majlis itu daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan menyampaikan anugerah tersebut di sini semalam.

Zulkifli sebelum ini pernah mengajar di beberapa sekolah terutama di Ipoh iaitu Sekolah Izzuddin Shah, Sekolah Rendah dan Menengah Al-Hidayah termasuk memegang pelbagai jawatan seperti pengetua, guru besar serta Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Al-Hidayah.

Dirinya yang meminati bidang mengajar bersyukur dengan anugerah diberikan itu, lebih-lebih lagi disampaikan oleh Sultan Perak, dan melahirkan penghargaan kepada mereka yang membantunya dalam kerjaya pendidikan.

Dalam majlis yang diadakan, antara anugerah lain yang berkenan disampaikan oleh Sultan Nazrin ialah Anugerah Jasamu Dikenang Tahun 2023, Anugerah Guru Cemerlang Kelas al-Quran dan Fardhu Ain Tahun 2023, Anugerah Guru Cemerlang Tadika Islam Perak Tahun 2023, Anugerah Hafiz Muda Tahun 2023 serta beberapa kategori pelajar dan sekolah terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya