LUSAIL: Kejayaan pelumba Ducati Gresini, Fabio Di Giannantonio memenangi Kejuaraan MotoGP Grand Prix Qatar semalam hadir pada masa yang tepat tatkala masa depannya bersama pasukan itu dalam keadaan terumbang-ambing.
Di Giannantonio bukan sahaja meraih kejuaraan pertamanya dalam saingan MotoGP, namun lebih manis, dia menafikan hasrat juara dunia, Francesco Bagnaia untuk akur berada di tempat kedua.
Pelumba berusia 25 tahun itu hadir ke Qatar dengan motivasi yang tinggi untuk memastikan dirinya masih antara pelumba terbaik dalam saingan kategori kompetitif itu, tatkala kontraknya bersama Gresini akan tamat pada hujung tahun ini.
“Detik kemenangan ini adalah amat menakjubkan, saya rasa lebih tenang, namun ia adalah kerana saya sedar apa yang telah terjadi.
“Selepas perlumbaan di Malaysia, saya dapat tahu mengenai masa depan saya dan ia bukanlah sesuatu yang bagus.
“Saya berasa amat marah, tetapi saya cuba bersikap positif dan berulang kali katakan kepada ahli keluarga dan beberapa teman rapat saya, bahawa saya akan menang di Qatar dan kami berjaya melakukannya,” jelas Di Giannantonio.
Kemenangan ini ibarat satu taliang hayat buat Di Giannantonio untuk memikat pasukan-pasukan lain yang mahu mendapatkan khidmatnya untuk musim depan, dengan hanya berbaki satu pusingan lagi di Valencia pada hujung minggu ini sebelum saingan MotoGP melabuhkan tirainya.
Gresini sudah pun berjaya mendapatkan juara dunia enam kali, Marc Marquez untuk menyertai mereka pada musim depan dan ketika ini sedang memancing adik Valentino Rossi, Luca Marini yang kini bersama pasukan VR46 Racing. – UTUSAN