DEWAN RAKYAT: Saya masih ahli Parlimen PN -Azizi 

DEWAN RAKYAT: Saya masih ahli Parlimen PN -Azizi 

MOHD. AZIZI ABU NAIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas dihambat kontroversi akibat mengalihkan sokongannya kepada Kerajaan Perpaduan, namun, dikatakan setia kepada parti pembangkang, Ahli Parlimen Gua Musang membuat kemunculan pada sidang Dewan Rakyat sesi pagi, pagi tadi.

Mohd. Azizi Abu Naim, antara empat ahli Parlimen Bersatu yang didakwa membelot kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberitahu, beliau masih berstatus ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), walaupun beliau menyokong kerajaan.

Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat tanpa paksaan mana-mana pihak.

“Sebagaimana terpampang di skrin (di Parlimen), saya ahli Parlimen PN.

“Saya juga mengesahkan kenyataan yang telah dikeluarkan. Saya mengakui kenyataan itu daripada saya sendiri tanpa ada unsur paksaan atau sebaliknya. Ini semua keihklasan daripada saya” katanya hari ini. 

Beliau berkata demikian sebelum mengemukakan soalan kedua pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat. 

Pada sesi itu, Mohd. Azizi meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian Kerajaan Persekutuan terhadap notis petisyen yang difailkan oleh Nik Elin Zurina Abdul Rashid dan anaknya yang dilihat sebagai usaha mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019. 

Beliau juga bertanya usaha yang dibuat oleh Kerajaan bagi memastikan undang-undang berkaitan syariah terus terpelihara.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Fadhli Shaari [PN-Pasir Mas]  berkata, Mohd. Azizi kini berada di blok kerajaan.

Sebelum ini, empat ahli Parlimen Bersatu mengalihkan sokongan mereka kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk dua daripadanya dalam tempoh kurang 24 jam.

Sokongan itu bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober lalu, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman pada 30 Oktober lalu. 

Pada 7 November, Mohd. Azizi mengambil langkah sama dan sehari selepas itu Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik, pula mengumumkan tindakan sama.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini mendakwa, tindakan menakut-nakutkan Iskandar Dzulkarnain dipercayai bertujuan mendapatkan sokongan supaya kerajaan kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.

Hamzah mendakwa, pada 1 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain dibawa untuk bertemu seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah jika enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.

Bagaimanapun, SPRM telah menafikan bahawa badan berkuasa itu terlibat dalam pengisytiharan sokongan Iskandar Dzulkarnain, manakala dakwaan pihaknya telah mengugut ahli Parlimen itu bertujuan mencemarkan nama baik SPRM. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya