DEWAN RAKYAT: RUU Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan tidak diteruskan, sukar dikuat kuasa  - Utusan Malaysia

DEWAN RAKYAT: RUU Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan tidak diteruskan, sukar dikuat kuasa 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan meneruskan cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) dan pandangan pakar undang-undang kerana kesukaran mendapatkan maklumat diperlukan bagi tujuan pendakwaan.

Katanya, bukti jelas bahawa jerebu merentas sempadan yang berlaku berpunca dari negara jiran perlu disokong data-data mencukupi seperti peta lokasi, koordinat, maklumat pemilik tanah dan syarikat yang beroperasi di lokasi.

Katanya, Hal itu bagi membolehkan penguatkuasaan RUU Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.

“Perkara ini membabitkan kerahsiaan, keselamatan dan kedaulatan negara yang menjadi punca jerebu.

“Selain itu, maklumat syarikat berkaitan Malaysia yang beroperasi di negara luar juga sukar diperoleh memandangkan majoriti ekuiti dipegang oleh rakyat tempatan di negara syarikat beroperasi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai status peningkatan ketelusan dan keberkesanan dengan Bursa Malaysia dalam usaha membuktikan syarikat Malaysia tidak terlibat dalam jerebu serantau di Indonesia dan juga status menggubal Akta Jerebu Rentas Sempadan sebagai langkah membuktikan syarikat Malaysia yang beroperasi di Indonesia tidak terbabit dalam kebakaran hutan.

Katanya, pencemaran jerebu merentas sempadan tidak dapat diselesaikan hanya dengan penggubalan undang-undang semata-mata, sebaliknya pelbagai pendekatan boleh dilaksana bagi mencegah dan mengurangkan intensiti jerebu merentas sempadan.

“Kementerian sudah merangka strategi, inisiatif, langkah-langkah pencegahan serta mengutamakan pendekatan secara diplomasi melalui rundingan dua hala dan pelbagai hala dalam menangani masalah ini.

“Selain itu, kerajaan juga akan meneliti dan menambah baik pelan komunikasi insiden jerebu merentas sempadan bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat, berkesan serta mengelakkan pertikaian yang mengeruhkan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara jiran,” katanya.

Katanya, kerajaan akan melaksana pendekatan secara holistik melalui hubungan diplomatik dan kerjasama teknikal bagi memantapkan lagi keupayaan antara negara khususnya dalam bidang kajian saintifik dan penggunaan teknologi terkini berkaitan pengurusan tanah gambut serta operasi pemadaman kebakaran.

Jelasnya, ia selaras dengan Artikel 16 (Kerjasama Teknikal) dan Artikel 17 (Kajian Saintifik) di bawah AATHP yang menekankan perkongsian kepakaran teknologi, teknik dan pengetahuan serta menyokong pelaksanaan kajian saintifik dan teknikal berhubung pengurusan kebakaran tanah gambut dan hutan serta kaedah pemadaman kebakaran yang berkesan.

“Malaysia turut mengadakan kerjasama dua hala dengan kerajaan Indonesia bagi usaha-usaha pencegahan jerebu secara kerajaan dengan kerajaan di bawah kerangka Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya