DEWAN RAKYAT: PN rujuk Ahli Parlimen Tebrau ke JKPK, didakwa sokong zionis - Utusan Malaysia

DEWAN RAKYAT: PN rujuk Ahli Parlimen Tebrau ke JKPK, didakwa sokong zionis

JIMMY PUAH WEE TSE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) merujuk seorang ahli Parlimen kerajaan ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, kerana didakwa menyokong zionis Israel.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse, mengklik tanda suka dalam hantaran di media sosial oleh artis antarabangsa, Gal Gadot, berkenaan sokongannya terhadap Israel sebelum ini.

Shahidan menyuarakan perkara itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung tempoh masa harus ditunggu untuk mendapatkan jawapan supaya Jimmy Puah ‘dibicarakan’ dalam jawatankuasa berkenaan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bila usul merujuk Jimmy Puah ke jawatankuasa itu dihantar kepada Setiausaha Pejabat Dewan Rakyat.

“Saya rujuk Tebrau (Jimmy Puah) kepada jawatankuasa kerana menafikan sesuatu berhubung kenyataannya tentang Gal Gadot yang menyatakan sokongan (kepada Israel).

“Dia (klik) like, walaupun sudah dipadam, tetapi kami sempat buat cetakan skrin. Jadi, saya telah rujuk kepada jawatankuasa. Jadi, apakah tempoh yang harus saya tunggu?” Soalnya di Dewan Rakyat hari ini.

Johari kemudian memberitahu akan memutuskan perkara tersebut dalam masa terdekat.

“Tiada tempoh masa, tapi saya akan jawab secepat mungkin,” katanya.

Tular di media sosial beberapa pautan video cetakan skrin aplikasi Instagram menunjukkan akaun individu bernama ‘jimmypuah76’, antara yang mengklik tanda suka terhadap hantaran Gal Gadot berkenaan ‘I stand with Israel’ (saya berdiri bersama Israel).

Semakan Utusan Malaysia terhadap hantaran tersebut mendapati tiada lagi akaun bernama ‘jimmypuah76’ yang menyukai hantaran itu.

Pada 2 November lalu, Jimmy Puah dalam kenyataan di Facebooknya berkata, sentiasa menyokong dan mendukung pendirian kerajaan bersolidariti bersama Palestin.

Katanya, Shahidan sebelum ini telah menuduhnya menyokong Israel dan menarik balik tuduhan tersebut pada waktu sama.

“Sepatutnya perkara ini selesai, namun, ini dipanjangkan dan sekali lagi melemparkan tuduhan jahat yang sama,” katanya. 

Pada 30 Oktober lalu, perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat terganggu seketika sehingga menimbulkan kekecohan selepas Shahidan menuduh Jimmy Puah menyokong Israel.

Shahidan ketika itu membangkitkan jika seluruh Parlimen Malaysia akan menyatakan pendirian menentang pembunuhan berleluasa oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

Beliau kemudian memetik Jimmy Puah dengan apa yang dikatakan sebagai menyokong Israel.

Bagaimanapun, Jimmy Puah telah menafikan dakwaan itu dan menggunakan Perkara 36(6) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat terhadap Shahidan kerana mengeluarkan sangkaan jahat terhadapnya.

Shahidan kemudian berkata, jika Wee Tse mengaku tidak menyatakan sokongan terhadap Israel, beliau akan menarik balik kenyataan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN