Dewan Rakyat: Pelan Advokasi Gula misi jadikan negara 'kurang manis'

Dewan Rakyat: Pelan Advokasi Gula misi jadikan negara ‘kurang manis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melancarkan Pelan Advokasi Gula dalam masa terdekat sebagai usaha meningkatkan kesedaran awam susulan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) terutama kencing manis di negara ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, inisiatif itu menyasarkan semua lingkungan usia dan melibatkan pelbagai pihak. 

“Pelan ini meliputi semua peringkat umur dan kita mulakan di peringkat kanak-kanak lagi di pra sekolah, sekolah rendah serta universiti awam (UA) dan swasta. 

“Turut dilibatkan ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan ibu bapa, ketua kampung, pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pejabat Parlimen. Jadi, saya mohon semua ahli Parlimen untuk sama-sama jadikan negara kita ‘kurang manis’,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Kelvin Yii Lee Wuen [PH-Bandar Kuching] mengenai usahakan yang sedang dilaksanakan kementerian untuk menangani penyakit kencing manis memandangkan prevalens diabetes negara adalah yang tertinggi di Asia Tenggara.

Kata Dr. Zaliha, KKM kini berada di fasa akhir sesi libat urus bersama persatuan penjaja bagi menggalakkan amalan pemakanan yang sihat secara menyeluruh.

“Contohnya, kementerian berbincang dengan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Putrajaya untuk menyediakan pilihan minuman tanpa gula dengan slogan satu sudu teh sudah cukup, kurang lebih baik, tiada (gula) terbaik.

“Ini (inisiatif) yang sangat bagus kerana ada kedai yang kita lihat buka sampai malam, jadi bila dilaksanakan nanti, Insya-Allah ia boleh bantu dari segi advokasi bagi mengurangkan penggunaan gula dalam komuniti negara ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya