KUALA LUMPUR: Kerajaan mengesan seramai 704 mangsa penipuan sindiket pekerjaan di luar negara yang mendaftar dengan Kementerian Luar setakat Jumaat lalu.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, daripada jumlah tersebut, 518 daripadanya berjaya dibawa pulang oleh kerajaan manakala 186 lagi sedang dikesan.
Sehubungan itu, pihaknya memohon kerjasama semua pihak termasuk mangsa supaya mendaftar dengan pihak berwajib ekoran lebih 2,000 mangsa sehingga kini dilaporkan berada di luar negara akibat ditipu sindiket.
Katanya, pihak kementerian juga sedang berusaha mengenal pasti 26 mangsa sindiket penipuan pekerjaan yang berada di Laukkaing, Myanmar, selain menunggu ‘lampu hijau’ daripada pihak berkuasa negara itu untuk membolehkan Malaysia membuat lawatan dan perbincangan di sana.
“Banyak laporan media yang melaporkan lebih daripada itu, ada yang kata sampai 2,000 orang. Barangkali ini yang belum berdaftar dan dijejaki oleh kita.
“Jadi, kita memohon kerjasama semua pihak, jika ada maklumat, beri kepada kami untuk mengesan dan membawa pulang mangsa,” katanya pada sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew [PH-Sibu] yang meminta Menteri Luar menyatakan kaedah akan diambil bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengelak penipuan pekerjaan di Kemboja dan Myanmar.
Minggu lalu, media tempatan melaporkan, hampir 2,000 rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia masih terperangkap dan tidak mampu menyelamatkan diri di beberapa negara jiran, sejak setahun lalu.
Di Myanmar sahaja, difahamkan lebih 1,200 mangsa berselerak di beberapa daerah di negara itu, menjadi buruh paksa yang melakukan pelbagai pekerjaan sementara ratusan lagi mangsa penipuan dikesan berada di Thailand, menunggu untuk diseludup masuk manakala selebihnya di Laos, Kemboja dan Filipina.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Myanmar dan dengan kerjasama Thailand, Vietnam, Filipina serta China sedang menyelaras dan menggunakan segala alternatif bagi membawa pulang 26 mangsa sindiket itu.
Katanya, kementerian juga menerajui satu jawatan kuasa khas yang ditubuh bagi menyelesaikan isu sindiket penipuan tawaran pekerjaan melibatkan semua agensi berkaitan.
“Kementerian juga menggunakan jalinan usaha sama antara Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara bersama pihak berkuasa tempatan untuk mengesan, menyelamat dan memberi bantuan konsular kepada mangsa seperti memudah cara proses dokumentasi serta pengeluaran Sijil Perakuan Cemas.
“Ia bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat. Selain itu, KLN turut terbabit dalam lawatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Kemboja dan Thailand pada awal tahun ini bagi mengukuhkan jalinan kerjasama,” katanya.
Sementara itu, bagi mewujudkan kesedaran mengenai bahaya sindiket penipuan pekerjaan, kementerian memanfaatkan pelbagai platform tersedia seperti media sosial, media massa, media arus perdana dan hebahan secara fizikal untuk tujuan itu.
Katanya, antara usaha dilakukan ialah hebahan kesedaran menggunakan infografik dan video serta dokumentari pengalaman sebenar mangsa sindiket penipuan yang dimuat naik dalam laman rasmi media sosial seperti YouTube dan Facebook Kementerian Luar Negeri serta PDRM.
Jelasnya, kerajaan akan meningkatkan lagi hebahan kesedaran itu kepada lebih ramai lagi rakyat Malaysia melalui pelbagai Program Seranta yang dirancang selain penyampaian taklimat kesedaran kepada pelajar universiti serta pembukaan ruang reruai seperti ketika penganjuran Hari Wisma Putra, Sabtu lalu.
“Kita meminta orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan luar negara… tawaran itu dilihat cukup hebat kerana diberikan tiket penerbangan dan penginapan percuma, elaun tinggi, memang dilihat menarik.
“Saya mohon supaya periksa terlebih dahulu. Kita mempunyai wakil PDRM dalam jawatan kuasa khas itu, maka, orang ramai boleh pergi ke balai polis berdekatan untuk mendapatkan maklumat sama ada ia betul atau tidak.
“Kita tidak mahu berlaku ribuan rakyat kita tersekat di luar negara, malah, ada yang diseksa, penderaan fizikal dan memeras wang ringgit… ini adalah pengajaran,” katanya. -UTUSAN