Deepavali lebih bermakna buat Manimaran, abang dibebas penjara lebih awal - Utusan Malaysia

Deepavali lebih bermakna buat Manimaran, abang dibebas penjara lebih awal

J. MANIMARAN (kanan), 29, menyambut abangnya, Vijay, 40, yang dibebaskan lebih awal untuk menyambut perayaan Deepavali menerusi program PBSL Ihsan Madani di Penjara Pulau Pinang, George Town hari ini.- Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Sambutan Deepavali tahun ini lebih bermakna buat keluarga J. Manimaran, 29, apabila abangnya yang dikenali sebagai Vijay, 40-an, dapat bersama dengan keluarga mereka menyambut perayaan itu menerusi pelaksanakan pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani.

Vijay merupakan salah seorang daripada 11 penghuni Penjara Pulau Pinang yang diberi pelepasan hari ini menerusi PBSL sempena sambutan Deepavali.

SEBAHAGIAN daripada OBB dari Penjara Pulau Pinang diserahkan kepada keluarga; majikan dan dihantar ke rumah perantaraan di bawah PBSL Ihsan Madani hari ini. – Pic: IQBAL HAMDAN

Manimaran yang berasal dari Perai dekat sini berkata, kepulangan abangnya ke pangkuan keluarga amat dinantikan ibu mereka, M. Vathavalli, 64, yang kini sedang terlantar sakit di rumah.

“Abang saya sepatutnya dibebaskan Februari tahun depan, namun kami amat bersyukur kerana dia dapat dibebaskan lebih awal menerusi program PBSL Ihsan Madani.

”Ibu saya selalu bertanya mengenai abang dan dia amat gembira selepas mengetahui abang saya dibebaskan hari ini,” katanya di pekarangan Penjara Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Manimaran, tahun lalu sambutan Deepavali bagi mereka sembilan beradik agak suram kerana abangnya berada di penjara.

”Saya berharap abang saya akan menggunakan peluang yang ada dengan sebaiknya selepas dibebaskan dengan lebih awal untuk memulakan hidup baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Vijay berkata, dia akan menjaga ibunya dan bertekad untuk tidak mengulangi kesalahan lampau bagi memulakan hidup baharu.

“Saya ingin bersama keluarga dan kehidupan di penjara banyak mengajar saya dan saya mahu menjadi orang baharu selepas bebas,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Pulau Pinang, Mohammad Safwan Sizali berkata, menerusi PBSL itu seramai enam OBB diserahkan kepada keluarga, tiga kepada majikan dan selebihnya dihantar ke rumah perantaraan di Melaka dan Jawi.

”Kita beri peluang kepada banduan yang terpilih seperti yang berdisiplin untuk dibebaskan lebih awal untuk kita latih mereka kembali ke pangkuan masyarakat

“Kita harapkan mereka akan insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan mereka pada masa lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya