Darurat: Badan Peguam gagal rujuk persoalan undang-undang

Darurat: Badan Peguam gagal rujuk persoalan undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Badan Peguam Malaysia hari ini gagal dalam rayuannya untuk merujuk persoalan undang-undang berhubung kesahihan pengisytiharan darurat pada 2020 kepada Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said dan bersidang bersama-sama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azizul Azmi Adnan sebulat suara memutuskan demikian tanpa sebarang perintah berhubung kos.

Menurut penghakiman ringkas panel terbabit yang dibacakan oleh Hakim Azizul Azmi, panel terbabit terikat dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini dalam rayuan membabitkan isu serupa yang difailkan oleh Bersih 2.0.

“Dalam kes Bersih, Mahkamah Rayuan mendapati bahawa tiada kesilapan Mahkamah Tinggi yang boleh dirayu dan menolak rayuan dalam kes itu. Mahkamah ini terikat dengan kes sebelum ini. Oleh itu, rayuan oleh Badan Peguam Malaysia ditolak,” katanya pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Pada prosiding tersebut, peguam Gregory Das mewakili Badan Peguam manakala Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin mewakili kerajaan dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 18 Mei 2022, hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menolak permohonan Badan Peguam untuk merujuk persoalan perlembagaan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, kepada Mahkamah Persekutuan.

Badan Peguam mengemukakan 27 persoalan undang-undang mengenai kesahihan pengisytiharan darurat Malaysia yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan Ordinan Darurat negara semasa pentadbiran Muhyiddin.

Pengisytiharan darurat itu berkuat kuasa dari 12 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021 untuk membendung penularan pandemik COVID-19 yang bermula di seluruh dunia pada awal 2020.

Badan Peguam yang menamakan Muhyiddin dan kerajaan sebagai responden, memohon pengisytiharan bahawa Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 adalah menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan, dan oleh itu terbatal dan tidak sah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN