TARIKH 18 Disember 2021 kekal dalam memori penduduk Hulu Langat apabila insiden banjir besar menyebabkan ramai penduduk di Batu 18, Sungai Lui dan Taman Sri Nanding tinggal sehelai sepinggang.
Mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda dimiliki, segala-galanya berlaku terlalu pantas.
Detik hitam itu kekal tercatat sebagai memori hitam buat penduduk sekitar termasuk usahawan tempatan, Azlan Andi, 32.
Namun, sampai bila perlu mengenang kenangan? Itu yang bermain dalam kiran Azlan apabila beliau sanggup mengambil risiko, memberanikan diri membina sebuah resort Qawiy Village, Batu 23, Sungai Lui, Hulu Langat.
Premis berkenaan, asalnya tapak kilang menghasilkan fiber dan barangan plastik sebelum musnah akibat banjir.
“Banjir dua tahun lalu merupakan faktor yang mendorong saya menubuhkan resort ini.
“Ikutkan tanah seluas 1.8 ekar ini sudah lama dimiliki dan sebelum kilang dibina, ia asalnya adalah kebun buah,” katanya.
KONSEP HEALING
Perjalanan selama 40 minit dari ibu kota ternyata berbaloi apabila saya disajikan dengan pemandangan indah berlatarbelakangkan bukit menghijau dan sungai mengalir penuh ketenangan.
Konsep binaan resort ini, hasil inspirasi daripada pelbagai negara antaranya Turkiye, Indonesia dan Thailand.
Jelasnya, ada tiga sebab kenapa pengunjung perlu memilih untuk meluangkan hujung minggu di resort yang mengambil inspirasi daripada nama anaknya, Qawiy.
“Ada unit yang mempunyai tab mandi dan jakuzi yang sudah tentu berbeza dengan hotel. Kalau pergi hotel, tab mandi dalam bangunan dan tiada suasana persekitaran semula jadi.
“Ini adalah pilihan tepat kerana menggabungkan suasana healing dengan sabun mandi bath bomb kami sediakan. Malah kami turut menganjurkan bengkel menghasilkan bath bomb untuk pelanggan,” jelasnya.
Qawiy Village indah dan mempersona. Lokasinya berdekatan dengan empangan Semenyih. Bak kata Azlan, ia persis pemandangan di Switzerland.
TERIMA SAMBUTAN LUAR BIASA
WALAUPUN baru memulakan operasi Jun lalu, perniagaan diusahakan Azlan mendapat sambutan luar biasa.
“Hari biasa pun ramai yang menempah lebih-lebih lagi sejak lokasi ini tular di media sosial. Ada pelanggan datang buat hari keluarga dan team building,” katanya.
Antara kemudahan ditawarkan di situ ialah ATV untuk mereka yang gemarkan aktiviti lasak, selain ada kolam renang untuk anak-anak bersuka ria.
Lebih menarik, ada unit tiny house jenis A yang buka sahaja pintu gelongsor, terus nampak sungai.
Resort itu turut menyediakan penginapan lima dome glamping bagi mereka yang datang dengan jumlah yang ramai dengan dua unit disediakan di atas bukit, manakala, tiga lagi di tepi sungai.
Berkonsepkan perkhemahan glamor, semua kemudahan disediakan pendingin hawa termasuk di Hobbit House, Boat House dan Tube House.
Boleh menampung sehingga 200 orang pada satu-satu masa, resort ini menawarkan harga daripada RM150 hingga RM590.
TULIS NOVEL
SEBELUM membabitkan diri dalam dunia keusahawanan, bapa tiga anak ini merupakan penulis novel dan pencipta kandungan digital dalam media sosial.
Novel tulisannya berjudul Biniku Ninja yang diterbitkan oleh Karangkraf bagai pisang goreng panas apabila menjadi naskhah paling banyak terjual sehingga mendapat sambutan hangat pembaca di Indonesia, Brunei dan Singapura.
Novel itu kemudian diadaptasi menjadi drama di Astro. Selain Biniku Ninja, karya lain seperti Tersujud di Bumi Eropah juga mendapat sambutan memberangsangkan.
“Saya suka mengembara. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), disebabkan tidak boleh melancong, saya mula menghasilkan produk mandian terapi, bath bomb yang dihasilkan dalam bentuk bola.
“Bola yang dicampak ke dalam tab mandi akan bertukar menjadi buih sekali gus memberikan ketenangan kepada pembeli,” kongsinya.
Bermula sekadar hobi menghasilkan produk mandian itu, Azlan berkata, dia tidak pernah menyangka akhirnya mendapat permintaan apabila mendapat tempahan daripada pihak hotel dan pengusaha spa.
Mengulas mengenai perjalanan kariernya daripada seorang penulis, usahawan dan pengusaha resort, kata anak kelahiran Sabah ini, semuanya saling berkaitan antara satu sama lain.
“Masa menulis saya banyak buat tentang travelog. Bila buat acara kita pun banyak mengembara. Bath bomb pun konsepnya pengembaraan dan akhirnya saya buat resort.
“Ia bagaikan kesinambungan dan tiada masalah untuk saya beralih bidang. Saya memang aktif melancong ke luar negara serta menghasilkan kandungan di Tiktok dan Instagram,” kongsinya.