KUALA TERENGGANU : Cuaca cerah di daerah Kuala Terengganu hari ini membolehkan mangsa banjir mengambil peluang untuk membersihkan rumah dan mencuci pakaian kotor yang ditenggelami banjir baru-baru ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kampung dan kawasan perumahan yang terjejas banjir sebelum ini mendapati penduduk mula menjemur pakaian, karpet dan mencuci kereta di rumah mereka.
Suri rumah, Sasuhaida Sulaiman, 39 berkata, dia pulang ke rumahnya di Kampung Atas Tol pada pukul 6 petang semalam setelah banjir surut.
“Rasa hiba juga bila tengok kesan banjir kali ini kerana agak teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya tambahan pula banyak kain tempahan yang belum dijahit daripada pelanggan basah kerana tidak sempat dialih ke tempat tinggi.
“Sejak pukul 8 tadi, saya dah basuh baju dan kain-kain tersebut serta maklumkan kepada pelanggan, mujurlah mereka memahami situasi saya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Seorang lagi mangsa banjir, Haslina Abdul Razak, 34, pula berkata, dia mengambil peluang cuaca cerah hari ini untuk membasuh periuk dan pinggan mangkuk yang ditenggelami air banjir.
“Nasib baik kesan banjir kali ini tidak ada lumpur, jadi mudahlah sikit nak basuh semua tu, kalau karpet pula, saya basuh seperti biasa, jirus air paip dan jemur di pagar tapi ada juga rancang nak hantar ke kedai mesin cucian karpet agar lebih bersih,” katanya. – UTUSAN