TANJUNG MALIM: Golongan pendidik perlu mengambil iktibar daripada peribadi, keinsanan dan keihsanan Nabi Muhammad ketika bertugas mendidik anak bangsa.
Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bertitah, Rasulullah mendidik insan dengan roh, jiwa dan ihsan, mempamerkan sifat-sifat gigih, tekun serta bersungguh dalam usaha mengilmukan insan dengan penuh sabar dan kasih sayang.
“Ketika berperanan sebagai pendidik, izinkan anak didik untuk berfikiran kreatif, membolehkan mereka mencabar kelaziman, serlahkan anak didik dengan pelbagai realiti kehidupan, dan persiapkan mereka dengan pendidikan yang berteraskan realiti kehidupan,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada majlis Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-25 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, di sini hari ini.
Seramai 7,616 graduan menerima anugerah pada konvokesyen kali ini melibatkan 121 graduan ijazah kedoktoran; 1,487 graduan Sarjana; 4,240 graduan Sarjana Muda, dan 1,768 graduan diploma lanjutan dan diploma.
Tuanku Zara yang juga Canselor UPSI bertitah, guru yang sejati mempunyai roh, semangat, dan jati diri yang ikhlas dalam mendidik anak didiknya.
Titah baginda, guru yang sejati bukan sahaja hebat dalam kaedah pengajarannya, malah memiliki sifat pendidik yang semula jadi lagi berhemah, serta disanjung, dihormati dan dikasihi oleh pelajar dan masyarakat.
Baginda juga mengingatkan graduan agar sentiasa mengenang dan menghargai jasa serta pengorbanan ibu bapa serta para guru yang berperanan besar dalam membolehkan mereka mencapai kejayaan.
“Hargai jasa mereka dan tunjukkan sifat insan yang tahu berterima kasih,” titah baginda.
Baginda bertitah, berbekalkan asuhan ibu bapa dan keluarga serta bimbingan dan tunjuk ajar para guru dan pensyarah, selain berbekalkan ilmu yang diperoleh, graduan perlu menjadi rakyat yang berharga yang sedia berkhidmat dan berbakti untuk negara dan masyarakat.
Baginda mahu graduan memperlihat sifat-sifat insan berilmu yang tertib, beradab, bersopan dan berbudi bahasa dalam tutur dan perbuatan.
“Semaikan dan amalkan semangat kenegaraan yang tinggi dengan menumpahkan kesetiaan kepada raja dan negara,” titah baginda. – UTUSAN