KEMAMAN: Calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkempen mengambil kesempatan menziarahi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Datuk Abu Bakar Ali ketika mengadakan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Bandar Baharu Kerteh, dekat sini, hari ini.
Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu meluang sedikit masa bagi bertanyakan khabar bekas ADUN itu yang diserang angin ahmar sejak 2011.
Abu Bakar merupakan salah seorang veteran UMNO Terengganu yang berkhidmat sebagai ADUN Kemasik selama lima penggal dari tahun 1986 hingga 2008.
Sementara itu, Raja Mohamed Affandi berkata, beliau terharu dapat bertemu dengan tokon veteran UMNO yang sarat dengan pengalaman sebagai seorang wakil rakyat.
“Abu Bakar merupakan seorang pemimpin UMNO yang hebat dan disenangi penduduk semasa berkhidmat sebagai wakil rakyat,” katanya ketika ditemui di rumah Abu Bakar di Bandar Baharu Kerteh, di sini, hari ini.
Malah, tambahnya, pada pertemuan singkat itu, Abu Bakar turut berkongsi tip dan memberi nasihat sebagai persediaannya menghadapi PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini,” katanya. – UTUSAN