Calon BN tidak kekok bersama anak muda - Utusan Malaysia

Calon BN tidak kekok bersama anak muda

RAJA Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menyantuni pengundi muda ketika kempen PRK Parlimen Kemaman di Kampung Bukit Kuang, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Pengalaman sentiasa bersama golongan muda ketika berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memudahkan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mendekati pengundi muda pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang bermula Sabtu lalu.

Bekas Panglima ATM itu berkata, beliau tidak kekok ketika menyantuni pengundi muda meskipun jauh perbezaan usia berikutan telah terbiasa bersama orang muda.

“Ketika kempen ini, saya mendapat penerimaan yang sangat baik dalam kalangan pengundi muda dan sebelum ini sebagai PAT (Panglima Angkatan Tentera), secara langsung atau tidak langsung saya sering bersama orang muda kerana mereka yang masuk tentera ada yang berumur 18 tahun.

“Jadi, kita memang tahu apa yang dikehendaki mereka (pengundi muda) dan BN memang cakna orang muda. Kita akan lihat apa yang boleh diketengahkan dan lakukan untuk orang muda termasuk peluang pekerjaan dan juga kita lihat anak muda juga sukakan aktiviti lasak,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Raja Mohamed Affandi berkata, beliau bersama jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) akan terus mempergiat aktiviti menyantuni pengundi muda kerana golongan itu merupakan salah satu faktor kemenangan.

Mengenai kempen yang memasuki hari keenam, Raja Mohamed Affandi berkata, kempen bagi kedua-dua pihak termasuk parti lawan berjalan lancar dan berlangsung secara harmoni.

“Saya lihat memang tenang pilihan raya kali ini, harap begitulah kaedahnya kerana kita dapat tumpu kepada kualiti dan kemampuan (perkhidmatan untuk rakyat) yang akan kita buat, bukannya provokasi. Saya harap situasi ini kekal dan dapat beri ruang kepada pengundi menentukan wakil rakyat yang mereka mahu,” katanya.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan menyaksikan Raja Mohamed Affandi bertemu satu lawan satu dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.

PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan penyandangnya, Che Alias Hamid dari Pas pada September lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya