GOMBAK: Walaupun menghadapi tidak upayA fizikal kerana cacat penglihatan sejak berumur tiga tahun, ia bukan penghalang kepada Ahmad Danial Mohd. Sani untuk menggenggam segulung ijazah.
Pada Majlis Konvokesyen ke-39 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini, Ahmad Danial, 29, turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Pencapaian Terbaik Ko-kurikulum, ʻAmr Ibn Al-Jamūḥ.
Ketua Perlembagaan UIAM, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah berkenan menyampaikan ijazah dan anugerah berkenaan kepada Ahmad Danial pada sidang pembukaan majlis konvokesyen universiti tersebut.
Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Ahmad Danial tidak menyangka terpilih menerima anugerah itu, namun melahirkan kesyukuran dengan kejayaan yang diraihnya.
“Saya sebenarnya tidak jangka terpilih untuk menerima anugerah kecemerlangan ini. Ia juga adalah salah satu pemangkin semangat untuk saya yang serba kekurangan ini.
Mungkin ramai yang anggap golongan seperti kami ini tidak boleh aktif seperti mereka yang sempurna,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu di sini hari ini.
Berkongsi pengalamannya mengharungi cabaran sebagai seorang pelajar yang mempunyai kekurangan penglihatan, Ahmad Danial berkata, dia amat sukar untuk mendapatkan bahan rujukan untuk membuat tugasan yang diberikan.
Bagaimanapun, katanya, dia akan meminta bantuan rakan untuk membacakan bahan itu dan akan membuat dalam bentuk braille untuk disimpan sebagai nota.
“Saya lahir dalam keadaan normal, tapi saya mula hilang penglihatan apabila umur saya menjangkau tiga tahun akibat masalah katarak di kedua belah mata saya.
“Dalam keluarga, saya seorang sahaja yang OKU penglihatan dan adik keempat saya pula OKU autisme,” tambahnya.
Kejayaan dikecapi ini didedikasikan kepada mereka yang banyak membantu sepanjang pengajian di UIAM dan sebagai hadiah kepada ibu bapa dan para pensyarah yang menjadi tulang belakang sehingga berjaya menamatkan pengajian.
Ahmad Danial kini bertugas sebagai tenaga pengajar al-Quran Braille di Persatuan Orang Buta Malaysia.
Pada Ogos tahun lalu Ahmad Danial berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter dan merupakan antara 22 peserta termasuk enam pendaki OKU lain yang menyertai Ekspedisi Kinabalu OKU Challenge 2022 anjuran Pusat Pembangunan Sukan UIAM dengan kerjasama Unit Perkhidmatan OKU UIAM. – UTUSAN