Cabul : 2 individu masih direman

Cabul : 2 individu masih direman

MANCHA Ata (dua dari kiri) bercakap dalam sidang akhbar di Kuching hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Polis Sarawak mengesahkan pihaknya masih menyiasat kes melibatkan dua individu mencabul pelajar di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata pihaknya telah menerima 12 laporan berhubung seorang pembantu pengurusan murid yang didakwa mencabul 15 orang pelajar pendidikan khas.

“Bagi kes amang seksual melibatkan pembantu pengurusan murid, suspek telah ditangkap pada 17 November 2023 dan kini masih dalam tahanan reman sehingga 24 November 2023 (Jumaat) susulan dakwaan mencabul 15 orang pelajar pendidikan khas iaitu kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) berumur 10 hingga 14 tahun.

“Sebanyak 12 laporan polis telah diterima daripada penjaga dan guru antara 16 hingga 22 November 2023 yang mana kesemua mangsa adalah kanak-kanak dalam lingkungan umur 10 hingga 14 tahun dan merupakan pelajar pendidikan khas iaitu kanak-kanak OKU masalah pembelajaran, OKU fizikal dan OKU autisme,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat,” tegasnya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Sarawak, Kuching petang tadi.

Sementara itu bagi kes kedu, seorang guru penyelaras pengawas ditahan susulan dakwaan mencabul tiga orang pelajar di Serian, Sarawak.

“Suspek telah ditangkap pada 23 November 2023 dan permohonan reman akan dipohon pada hari ini susulan dakwaan mencabul tiga mangsa iaitu pelajar berumur 14 hingga 15 tahun.

“Tiga laporan polis telah diterima daripada tiga mangsa berumur antara 14 dan 15 tahun pada 22 haribulan yang lepas (22 November 2023) yang mendakwa mereka telah dicabul oleh seorang guru yang juga merupakan guru penyelaras pengawas di sekolah tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seskyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Seksyen 14(c) akta sama kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat,” tambahnya lagi.

Kata Mancha, kedua-dua kes melibatkan sipelaku adalah seorang guru yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa seperti mana peruntukan di bawah Seksyen 16 akta sama memperuntukkan hukuman tambahan penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Justeru itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dan prihatin dengan kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak kerana kejadian ini boleh memudaratkan kesihatan emosi dan mental yang berpanjangan kepada kanak-kanak sekiranya tidak dibendung lebih awal. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya