IPOH: Kebergantungan import makanan yang tinggi mencecah RM75.5 bilion tahun lalu merupakan cabaran yang perlu ditangani bagi meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu keterjaminan makanan diberikan tumpuan khusus dalam Agenda Mampan Belanjawan 2024 yang bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’.
Menurutnya, Belanjawan Madani Kedua ini merupakan cerminan kepada usaha memperhebat kelangsungan industri agromakanan negara bagi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dan mengurangkan kebergantungan import.
“Pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan dalam menyediakan insentif secara inklusif kepada pengeluar makanan.
“Potensi sektor agromakanan perlu dikembangkan sebagai salah satu penyumbang utama ekonomi negara.
“Fokus kerajaan Madani masa kini berada dalam landasan yang tepat untuk mengangkat dan memartabatkan sektor agromakanan,” katanya pada perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di sini hari ini.
Ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan timbalannya Datuk Chan Foong Hin dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Perdana Menteri berkata, prestasi pertumbuhan sektor agromakanan negara kekal positif walaupun berdepan dengan ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan domestik.
Beliau berkata, sumbangan signifikan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2022 iaitu RM173.9 bilion atau 11.5 peratus.
Kata beliau, nilai ditambah atau value added itu meliputi pengeluaran agromakanan dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.
“Begitu juga trend peningkatan defisit perdagangan dalam sektor agromakanan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
“Kebergantungan import makanan yang tinggi mencecah RM75.5 bilion pada tahun 2022 merupakan cabaran yang perlu ditangani bagi meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara,” katanya.
Mengenai HPPNK 2023, Perdana Menteri berkata, ia adalah satu program istimewa yang diadakan secara dwi-tahunan bagi meraikan golongan peladang, penternak dan nelayan di negara ini.
“Penganjurannya antara lain sebagai manifestasi penghargaan kerajaan terhadap sumbangan pengeluar makanan.
“Golongan itu terkesan dengan pelbagai cabaran sektor agromakanan di peringkat global dan tempatan,” katanya. – UTUSAN