Bunuh bapa saudara: Penggangur terlepas hukuman mati kerana

Bunuh bapa saudara: Penggangur terlepas hukuman mati kerana tidak waras

AHMAD Tarmizi Harun terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi hari ini mendapati lelaki itu tidak waras ketika membunuh bapa saudaranya tiga tahun lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Seorang penganggur terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati lelaki itu tidak waras ketika membunuh bapa saudaranya, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Taiping, Noor Ruwena Md. Nurdin memerintahkan Ahmad Tarmizi Harun, 33, dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan untuk rawatan.

Dalam penghakimannya, Noor Ruwena berkata, meskipun lelaki itu didapati menyebabkan kematian mangsa seperti mana pertuduhan, namun elemen niat tidak dapat dibuktikan oleh pendakwaan walaupun dengan keterangan pengakuan oleh terduduh kepada saksi ke-14 (ibu) dan saksi ke-15 (ibu saudara).

Beliau berkata, mahkamah menerima keterangan saksi ke-9 (pakar psikitri) dalam hal tersebut atas pertimbangan kebarangkalian bahawa tertuduh tidak siuman pada masa kesalahan dilakukan.

Jelasnya, jika tertuduh seorang yang waras dan berniat jahat, dia pasti akan cuba menyorokkan bukti kejadian yang boleh dikaitkan dengannya.

“Keterangan menunjukkan, kepala si mati yang berdarah ditutup dengan tuala kecil manakala badannya ditutup dengan baju dan kain. 

“Batu-bata yang digunakan untuk menghentak kepala si mati juga ditinggalkan di tepi mayatnya manakala kesan tapak kaki berdarah di dalam rumah tidak cuba dilap atau dihilangkan selain jam tangan tertuduh yang selalu dipakainya dicampak di dalam rumah,” ujar beliau.

Menurut Noor Rowena, keterangan pakar psikitri itu juga menyokong keterangan kakak tertuduh mengenai keadaan lelaki itu yang tidak tentu arah beberapa hari sebelum kejadian yang menunjukkan keadaan kesihatan mentalnya.

Malah beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati terdapat dadah jenis methamphetamine di dalam badan tertuduh.

“Mahkamah mendapati pihak pembelaan telah berjaya membuktikan ‘defence of insanity’ atas kebarangkalian dalam kes ini.

“Oleh yang demikian, mahkamah mendapati tertuduh tidak bersalah dan dibebaskan daripada pertuduhan disebabkan dia tidak siuman dan tidak mengetahui keseriusan kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang masih bujang itu didakwa dengan niat telah membunuh Ahmad Halim Bahari, 61, di sebuah rumah di Kampung Plang, Mukim Kerunai, Gerik antara pukul 8 pagi hingga 4 petang, 10 November 2020.

Pertuduhan terhadap anak keenam daripada lapan beradik itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan kes itu bermula pada 2021

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sally Chay Mei Ling manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh.

Menerusi laporan Media pada 10 November 2020, mangsa yang merupakan penoreh getah itu ditemukan berlumuran darah dengan kesan kecederaan parah di kepala setelah dihentak menggunakan batu-bata oleh suspek.

Kejadian di hadapan rumah mangsa itu dikatakan berlaku ekoran pergaduhan antara mangsa dan suspek yang berpunca daripada pertelingkahan lama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN