IPOH: Tiada permohonan daripada mana-mana pihak untuk menarik balik laporan polis berkaitan kes buli melibatkan pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, setakat ini, tiada usaha damai untuk menyelesaikan kes berkenaan secara baik.
“Kita tidak menerima usaha-usaha ke arah itu. Kedua-dua pihak pun, ibu bapa dan sekolah tidak ada yang berurusan atau berhubung dengan polis untuk menarik balik kes tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kertas siasatan kes itu akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) Isnin ini, selepas ia dikembalikan semula kepada polis untuk ditambah baik.
Katanya, laporan penuh perubatan mangsa dari Hospital Kuala Kangsar yang diterima hari ini, akan dihantar ke AGC bersama kertas siasatan berkenaan.
“Kita hanya menunggu laporan lengkap daripada Hospital Kuala Kangsar, itu sahaja. Kalau dah lengkap kita akan hantar semula kepada AGC untuk menerima arahan seterusnya, dituduh atau sebagainya,” katanya.
Isu berkaitan buli di MCKK itu tular berikutan hantaran dimuatnaik di laman Instagram yang memaparkan seorang lelaki dipercayai pelajar sekolah dimasukkan ke hospital dipercayai dibuli pelajar senior.
Turut tular sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku yang hanya diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob dalam kenyataannya sebelum ini berkata, laporan kejadian buli itu diterima pada 24 September lalu sekitar pukul 10.05 pagi di mana tiga pelajar lelaki tingkatan empat dikatakan telah dipukul pelajar tingkatan lima seramai empat orang.
Menurut beliau, mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut dan hasil pemeriksaan ‘normal physical finding mengesahkan mangsa tidak mengalami kecederaan parah. – UTUSAN