PETALING JAYA : Polis menyerahkan kertas siasatan berhubung isu rakaman video tular mengenai perbualan lucah yang dikaitkan dengan dua individu termasuk Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff kepada Bukit Aman.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan kepada Utusan Malaysia.
Kata beliau, siasatan berkenaan akan diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Kertas siasatan diambil alih oleh USJT,” katanya.
Terdahulu, Hussien mengesahkan pihaknya telah selesai merakam keterangan Mohammad Agus.
Kata beliau, polis masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti individu bergelar ‘Mr H’ penularan video berkenaan.
“Keterangan beliau (Mohammad Agus) telah diambil semalam selepas laporan polis dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.
“Setakat ini masih satu laporan polis diterima mengenai kes terbabit,” katanya di sini.
Tambah Hussein, siasatan juga masih dijalankan untuk mengenal pasti individu dikenali ‘Mr H’ seperti yang turut dikaitkan dalam kes terbabit.
“Perkara itu masih dalam siasatan dan polis akan memanggil semua yang terlibat dalam kes ini,” ujarnya.
Senalam, Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mendakwa dia diarahkan oleh seorang individu berjawatan tinggi dikenali Mr H untuk merakam satu klip video bagi memerangkap bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.
Abdul Wahab, 33, mendakwa Mr H pernah membuat beberapa pertemuan dengannya dan menawarkan jawatan lebih tinggi sebagai habuan.
Dalam pada itu, Mohammad Agus yang meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab dengan niat mahu menjatuhkan reputasinya.
Siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Satu rakaman video berdurasi 3.03 minit membabitkan kes berkenaan tular hingga menjadi topik hangat di media sosial. –UTUSAN