KUALA LUMPUR: Pelakon meningkat naik, Hariz Hamdan, 21, tidak menolak untuk melakonkan babak tidak berbaju sekiranya perkara itu dituntut dalam jalan cerita sesebuah drama atau filem yang dijayakannya.
Bagaimanapun, kata pemilik nama sebenar Muhammad Hariz Muhammad Hamdan itu, tindakan itu hanya akan dibuat mengikut keperluan untuk menghidupkan watak yang dilakonkan.
“Ia bergantung. Kalau ada babak yang memerlukan saya buka baju, saya akan buat. Kalau tidak, tak perlu.
“Saya meletakkan logik akal dalam setiap lakonan saya. Kalau tak, lakonan yang dipersembahkan itu tidak menjadi.
“Jadi, kalau kena buka baju, saya akan fikirkan logiknya dahulu. Kalau ia perlu untuk menghidupkan watak, saya buka,” katanya.
Hariz berkongsi perkara itu selepas menamatkan acara larian Meta Time Trial Asics Malaysia di Putrajaya, semalam.
Turut serta adalah pelakon tampan Thailand, Pon Nawasch.
Mengulas perkara sama, Hariz memaklumkan ada dirisik syarikat produksi tempatan yang memerlukannya untuk melakonkan babak tidak berbaju.
Namun, pelakon tinggi lampai ini akan meneliti terlebih dahulu sebelum bersetuju dengan tawaran berkenaan.
“Saya kena bincang perkara ini dengan pengurus. Kena fikirkan adakah ia baik untuk karier lakonan saya dan adakah ia memberi contoh yang baik kepada masyarakat.
“Saya masih baru dalam industri ini, jadi saya tak mahu satu masa nanti dikenang dengan cerita negatif,” kongsinya.