KLANG: Penceramah bebas, Muhammad Fathi Na’im Mazlam yang berdepan pertuduhan merogol seorang remaja perempuan memohon orang awam tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menjejaskan prosiding dan ahli keluarganya.
Menurutnya, mahkamah sebelum ini turut memerintahkan media tidak mensensasikan perbicaraan tersebut selain beliau dilarang membuat sebarang kenyataan berhubung prosiding berkenaan sepanjang prosesnya berlangsung.
“Saya mohon satu perbicaraan yang adil, so far saya tak boleh buat apa-apa keterangan dari tahun lepas sampai sekarang sebab saya dilarang untuk sensasikan berita ini di media-media.
“Saya mohon semua pihak jangan buat spekulasi sebab saya pun ada keluarga untuk dijaga, anak-anak masih kecil, bersekolah. Doakan perbicaraan ini berjalan dengan baik dan terima kasih kepada pihak media,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri perbicaraannya di Mahkamah Sesyen, hari ini.
Terdahulu, Hakim Syafeera Mohd. Said menangguhkan perbicaraan esok selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur `Ayuni Jamri memohon penangguhan berikutan terdapat telefon bimbit yang merupakan barang kes berada dalam simpanan pegawai penyiasat yang sedang cuti sakit.
“Pegawai penyiasat tidak dapat hadir kerana sedang cuti sakit, bagaimanapun terdapat pegawai ganti, namun barang kes tersebut tidak berada di dalam simpanannya dan perlu merujuk kepada pegawai yang asal.
“Pegawai pengganti juga memberitahu akan mendapatkan barang kes tersebut pada petang ini untuk di bawa ke dalam perbicaraan esok,” katanya.
Permohonan tersebut tidak mendapat bantahan daripada peguam yang mewakili tertuduh, Samry Masri, Ainul Azwan, Khairul Naim Rafidi, Wafiy Musa. Khairunnisa Zamhari dan Azlinie Othman.
Dalam pada itu, pendakwah selebriti yang juga dikenali sebagai Ustaz Fathi Na’im menyatakan beliau bersedia berdepan perbicaraan itu untuk membersihkan namanya dan menyatakan komitmen menghadiri setiap prosiding sejak pertuduhan kali pertama pada 29 November 2022.
“Saya dari hari itu (pertuduhan kali pertama) tidak pernah terlepas hadir ke mahkamah sampai hari ini saya datang untuk bersihkan nama.
“Cuma ada orang tanya, kenapa tak ada kenyataan, saya tak boleh keluarkan sebarang kenyataan sebab masih dalam jaminan, kalau keluar juga saya ‘ke dalam’ (masuk penjara). Terima kasih, doakan saya,” ujarnya.
Muhammad Fathi yang juga bapa kepada lapan orang anak itu dituduh atas 10 pertuduhan pertuduhan merogol, melakukan amang seksual dan hubungan seks dengan objek pada 2021 dan tahun lalu.
Beliau dituduh di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, sekiranya disabitkan kesalahan. – UTUSAN
MUHAMMAD Fathir Na’im menghadiri perbicaraan berhubung 10 pertuduhan rogol yang dihadapinya dekat Mahkamah Sesyen di Klang, Selangor, hari ini. – UTUSAN / SADDAM YUSOFF