PETALING JAYA: Sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna biru yang diletakkan di persimpangan jalan sehingga mengganggu pergerakan bas awam, diangkat orang ramai untuk dialihkan ke tepi sebelum ditarik oleh trak tunda polis di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Satu perkongsian video di aplikasi X berdurasi hampir dua minit memaparkan sebuah bas tersangkut di persimpangan jalan akibat sebuah kenderaan yang diletakkan secara tidak bertanggungjawab.
Menerusi video itu, orang ramai kelihatan berusaha mengalihkan kenderaan tersebut dengan mengangkatnya untuk dialihkan ke sisi jalan bagi memberi laluan kepada bas berkenaan.
Anggota polis yang kemudiannya tiba di lokasi bertindak mengeluarkan saman sebelum kereta itu ditarik oleh trak tunda.
Dalam pada itu, orang ramai turut melontarkan kritikan terhadap pemilik kenderaan berkenaan di ruangan komen.
“Lain kali kalau rasa bila bawa kereta nanti akan menyusahkan banyak orang, tak payah bawa, amik Grab,” komen @mazura017.
“Aku geram jenis yang pentingkan diri lepas itu menyusahkan org lain…,” kata @ayabreaaa_.
“Oh! Baru tahu boleh lapor trak polis untuk angkut kereta yang parkir bersepah ganggu jalan raya. Lepas ni kalau nampak ada kereta yangg parkir bersepah, hubungi polis trafik suruh bawa trak,” tulis @wallawaniey. – UTUSAN