KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang enggan mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.
Perkara itu ditentukan hari ini selepas Hakim Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan dua pihak untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman supaya Johari mengisytiharkan kerusi yang disandang oleh empat ahli Parlimen itu, kosong.
Ketika menyampaikan keputusan ringkasnya, Hakim Amarjeet berkata, beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu bahawa kekosongan kerusi tidak boleh dipertikai di mahkamah di bawah Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.
“Hanya ada satu alasan terhadap keputusan ini iaitu mahkamah terikat dengan keputusan terdahulu bahawa ia tiada bidang kuasa untuk mempersoal keputusan Speaker berhubung kekosongan kerusi,” ujar beliau.
Perkara 63 menyatakan bahawa kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mahkamah.
Beliau juga tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya sebagai pegawai awam parti itu pada 17 April lalu.
Bersatu menamakan Johari dan empat Ahli Parlimen itu iaitu Datuk Armizan Mohd. Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.
Pada prosiding hari ini, peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun, Chetan Jethwani dan Pravin Thangarajoo mewakili kedua-dua pemohon.
Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Farah Shuhada Ramli mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) manakala peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Wafiy Azman, Woo J. Enn dan Choo Shi Jin mewakili responden.
Pada 29 Ogos lalu, AGC membantah permohonan Bersatu untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman atas alasan keputusan Yang Dipertua itu tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
SFC Ahmad Hanir Hambaly ketika itu berhujah, undang-undang antilompat seperti yang dinyatakan dalam Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
Sementara itu, Azhar Azizan turut berhujah, Speaker telah melampaui bidang kuasanya kerana beliau tidak mempunyai kuasa mentafsir perlembagaan Bersatu atau membuat penentuan bila keanggotaan responden kedua hingga kelima dalam Bersatu terhenti.
Bersatu melalui afidavit yang difailkannya mendakwa, berlaku kekosongan luar jangka melibatkan Parlimen Papar, Batu Sapi, Ranau dan Sipitang.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu kenyataan berkata, kesemua pemimpin parti Bersatu Sabah termasuk responden kedua hingga kelima telah keluar parti pada 10 Disember 2022.
Responden kedua hingga kelima bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di bawah logo GRS.
Dalam permohonan itu, Bersatu memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan Johari yang mengesahkan tidak berlaku kekosongan kerusi Parlimen berkenaan berdasarkan tafsiran Perlembagaan GRS dan Bersatu.
Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lalu
menyatakan responden kedua hingga kelima telah memberi penjelasan bahawa tiada berlakunya kekosongan kerusi Parlimen di negeri itu.
Sehubungan itu, Bersatu dan Kiandee mendakwa tindakan Johari itu adalah tidak sah, tidak mengikut perlembagaan dan penyalahgunaan kuasa.
Oleh itu, Bersatu dan Kiandee memohon agar surat bertarikh 16 Januari lalu dibatalkan dan empat kerusi Parlimen terlibat dikosongkan. – UTUSAN