PETALING JAYA: Pelakon veteran, Harun Hashim kesal dengan segelintir penerbit filem dan drama yang berkira-kira untuk mengeluarkan peruntukan bagi mendapatkan pelakon yang benar-benar berkualiti.
Katanya, keadaan tersebut jarang berlaku di luar negara, seperti Hollywood contohnya, yang mana pelakon-pelakon berpengalaman dan berbakat di sana cukup dihargai dan menerima bayaran yang tinggi setimpal dengan kualiti kerja dan kemampuan lakonan yang mereka persembahkan.
“Saya dimaklumkan wujud penerbit filem dan drama tempatan yang berprasangka pelakon yang bagus terlalu mahal untuk diambil berlakon. Walhal mereka tak hubungi pun pelakon tersebut, sekadar membuat andaian sendiri.
“Keadaan ini membuktikan bukan semua penerbit sanggup bayar lebih untuk mendapatkan pelakon yang benar-benar bagus, mereka berkira-kira,” katanya kepada pemberita.
Kata Harun lagi, penghargaan buat pelakon yang benar-benar bagus di negara kita masih rendah berbanding negara-negara lain yang amat menyanjungi pelakon berbakat, berpengalaman dan berdisiplin.
“Tengok sahaja pelakon-pelakon yang pernah merangkul anugerah pelakon terbaik, adakah semuanya laku? Ramai yang bertahun-tahun tak bekerja,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pelakon yang terkenal dengan watak Cikgu Hashim menerusi drama Pa’e ini menyifatkan Datuk Yusof Haslam sebagai penerbit dan pengarah yang wajar dicontohi.
“Saya bekerja dengan beliau sejak era 80-an lagi. Dia seorang pengarah yang sangat menjaga kerjayanya, teliti dan tak main-main. Paling penting, dia seorang yang amanah.
“Saya belum pernah melihat pengarah yang terlibat dalam proses suntingan sampai filem atau drama itu benar-benar selesai.
“Itu sebabnya Yusof berjaya sebagai penerbit dan pengarah,” jelasnya.