KUALA LUMPUR: Hujan lebat tidak mematahkan semangat peminat hadir ke konsert Coldplay: Music of The Spheres World Tour yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Malah penganjuran konsert ini menyaksikan kehadiran penggemar band antarabangsa itu yang terpaksa menunggu seawal pagi semata-mata untuk mengelakkan kesesakan.
Pengunjung, Aminurshafiq, 29 memaklumkan terpaksa beratur seawal pagi untuk memastikan kedatangan mereka ke konsert tersebut lancar tanpa sebarang masalah.
“Saya dan isteri datang seawal pukul 10 pagi, jadi berbaki lebih kurang tiga jam lagi untuk masuk ke dalam stadium.
“Kami juga terpaksa menunggu hampir empat jam sewaktu membuat pembelian tiket ketika ia mula dijual sekitar Mei lepas.
“Hari ini lebih mencabar kerana cuaca sejak pagi tidak menentu, sekejap panas sekejap hujan. Tapi kami bertahan dan kena hargai kerana ini adalah kali pertama kami menyaksikan konsert Coldplay,” katanya.
Sementara itu, peminat, Fauzan, 25, sanggup terbang dari Indonesia gara-gara tidak berpeluang menyaksikan konsert band tersebut di Jakarta yang diadakan sebelum ini.
“Saya berada di Kuala Lumpur sejak semalam, beratur sejak 11 pagi tadi. Memang agak memenatkan, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, membuat saya kebasahan.
“Saya dan isteri telah berhabis lebih RM4000 untuk tiket konsert, penerbangan dan penginapan. kami tetap berpuas hati kerana berpeluang menonton konsert Coldplay,” ujarnya.
Peminat, Michelle, 27, pula sanggup terbang dari Sarawak demi mengalami sendiri keseronokan menonton band kegemarannya.
“Saya dan dua rakan yang lain datang lebih awal dengan harapan tidak perlu beratur terlalu lama sebelum pintu masuk dibuka. Sekurang-kurangnya kami ada masa lebih lama untuk melihat sendiri keadaan sekitar stadium.
“Kami di sini untuk mengalami sendiri keseronokan menonton Coldplay secara live, jadi kami tidak kisah berhujan dan berpanas untuk konsert ini,” katanya.