SABAK BERNAM: Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) Selangor akan membentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengenai tindakan lanjut ke atas sebuah tapak dusun durian Musang King yang ditanam secara haram dan menceroboh kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Hulu Gombak.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Zahari Ibrahim berkata, sebarang tindakan kemusnahan dan perobohan di kawasan itu perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada MMKN Selangor.
Jelas beliau, pihaknya yang mengikut dasar Majlis Tanah Negara akan meroboh dan memusnahkan sebarang binaan di kawasan pencerobohan jika ia dilakukan dalam tempoh bawah lima tahun.
“Jika lebih lima tahun, ia terpulang kepada kerajaan negeri untuk mengeluarkan permit gunaan atau memberi tempoh masa sebelum dimusnahkan.
“Kita akan membawa perkara itu bagi menentukan sama ada membuat pemutihan atau merobohkan,” katanya ketika ditemui selepas Program Kesedaran Kepentingan Hutan Paya Gambut dan Kesedaran Mengenai Kebakaran Hutan, hari ini.
Utusan Malaysia pada 28 September lalu, melaporkan tapak dusun durian Musang King itu diserbu selepas dipercayai beroperasi secara haram dan melakukan pencerobohan sejak puluhan tahun lalu di atas tanah kira-kira seluas 41 hektar.
Dalam operasi JPN Selangor kira-kira pukul 12 tengah hari itu, dua pekerja di dusun tersebut ditahan ketika sedang melakukan aktiviti pembersihan di kawasan hutan simpan itu.
Difahamkan, pengusaha dusun itu pernah memohon daripada Kerajaan Selangor untuk memperoleh hak pemilikan kawasan berkenaan namun tidak diendahkan malah kawasan itu termasuk dalam kawasan yang hendak digazetkan sebagai HSK.
Mengulas lanjut, kata Zahari, semakan pihaknya mendapati dusun itu beroperasi sebelum hutan berkenaan digazetkan sebagai HSK pada 2010.
“Hutan itu sebelum ini tanah hak milik kerajaan negeri namun ditukar status sebagai penggantian kepada HSK yang dinyahwartakan. Kerajaan negeri mencadangkan penggantian kawasan tanah itu, namun aktiviti penanaman Musang King dilakukan sebelum pewartaan lagi,” ujarnya.
Tambah beliau, dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 32(1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313). – UTUSAN