ALOR SETAR: Kuota benih padi sah (BPS) perlu diberikan kepada pihak yang menguruskan tanaman padi secara langsung bagi menangani masalah kekurangan bekalan tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kuota yang diberikan kepada syarikat menyebabkan masalah sama akan terus berulang sehingga ada pihak yang bertindak menjual dengan harga yang lebih tinggi daripada harga subsidi.
“Sebab itu timbul masalah benih padi, ada yang jual RM50, RM60, RM70 sedangkan harga subsidi RM38 hingga RM45. Perkara ini di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), saya habaq kat depa dah hat ni lah kartel, kena perang dari atas sampai bawah.
“Saya dah bersuara banyak kali, saya ingat (rasa) dia pekak, kita cakap apa-apa ambil perhatian lah. Tindakan tak ambil, depa dok bantai Kedah, tak tahu bidang kuasa tu bawah kementerian,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat EXCO di sini hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, kuota benih padi ketika ini hanya 27 peratus diberikan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), manakala 63 peratus lagi kepada syarikat yang tidak menguruskan tanaman padi.
“Kalau saya yang boleh bagi kuota benih tu berselerak (tabur) dah benih tu dalam bendang, jangan bagi syarikat kilang yang tak ada petak padi,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri berharap isu benih padi itu juga dapat diselesaikan segera oleh kerajaan termasuk agensi terlibat di bawah kementerian berkaitan.
“Dahulu jawatan Pengerusi MADA disandang oleh Menteri esar. Saya ingat zaman Datuk Seri Najib (Tun Razak) dipinda akta untuk diberi kepada siapa yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan dan perlu perkenan Yang di Pertuan Agong. Dicadangkan Datuk Dr. Ismail Salleh, saya harap dia dapat melaksanakan tugas dengan baik, bincang dan atur dengan elok,” katanya. –UTUSAN