Benih padi: Mustahil petani membazir

Benih padi: Mustahil petani membazir

DR. ISMAIL SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: ‘Mustahil golongan petani melakukan pembaziran’.

Demikian tegas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh yang menyangkal dakwaan Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood kononnya masalah kekurangan benih padi berlaku disebabkan tindakan pesawah menggunakannya melebihi kuantiti diperlukan hingga menyebabkan pembaziran.

Menurutnya, dakwaan itu sukar diterima ketika golongan petani selama ini berterusan merungut mengenai masalah ketiadaan benih padi.

Selain itu katanya, agak mustahil untuk golongan petani melakukan pembaziran kerana mereka perlu membelanjakan wang untuk mendapatkannya dan benih padi bukannya diperoleh secara percuma.

“Petani buat tempahan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) tetapi benih tak sampai kerana pihak pengilang tak hantar kepada PPK. Dalam keadaan petani tak terima benih, macam mana nak membazir?

“Kenyataannya itu seolah-olah menyalahkan petani dan itu sesuatu yang saya sanggah. Kalau ada pun petani gunakan benih padi lebih sebelum ini, semua itu ada sebabnya.

“Ada ketikanya selepas mereka menabur benih, sebahagian kecil benih itu tidak tumbuh. Sebab itulah mereka gunakan beberapa beg melebihi kadar biasa dan jumlahnya sangat kecil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam laporan Utusan Malaysia kelmarin, Azman mendakwa, isu kekurangan benih berlaku ekoran pesawah menggunakan melebihi kuantiti diperlukan hingga menyebabkan pembaziran.

Menurutnya, penggunaan berlebihan itu menyebabkan berlaku peningkatan pengeluaran di peringkat pengilang hingga menjejaskan stok bekalan yang diperoleh pesawah tidak tepat pada masanya.

Mengulas kenyataan Azman mengenai tindakan diambil terhadap 22 peruncit yang menjual benih padi melebihi harga siling, Ismail berkata, pihaknya mewakili petani mengalu-alukan tindakan itu dan mengucapkan terima kasih terhadap tindakan diambil.

“Tetapi jumlah itu terlalu kecil kalau dibandingkan dengan keseluruhan ‘ejen’ yang berjumlah 456 di seluruh Malaysia. Sedangkan kita tahu selama ini yang mengikut arahan menjual benih padi pada harga runcit cuma PPK.

“Maka kita anggap tindakan itu tidak memadai. Selain itu, kenapa tindakan tidak diambil terhadap kilang-kilang yang bertindak menyalurkan benih padi ini kepada ‘ejen-ejen’ yang menjual pada harga mahal?” soalnya.

Beliau dalam pada itu turut mempertikai kenyataan Azman bahawa pengeluar benih padi dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditetapkan mewakili 30 peratus manakala yang selebihnya adalah syarikat swasta.

“Ini sesuatu yang amat tidak wajar kerana sekarang ini pun, pihak swasta tidak memberi kerjasama kepada kerajaan untuk memastikan penjualan benih padi dibuat pada harga ditetapkan. Setelah mereka tak mahu beri kerjasama, kenapa kita masih nak harapkan mereka untuk melaksanakan dasar kerajaan berkaitan keterjaminan benih, padi dan beras?

“Mengapa tak peruntukkan kuota lebih kepada empat agensi kerajaan yang memang menghasilkan benih padi?

“Agensi itu adalah PPK Lahar Bubu di Pulau Pinang kelolaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP); Syarikat Perniagaan Peladang Mada Sdn. Bhd. (MADACorp), Felcra Plantation dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) sedangkan keempat-empat agensi ini mampu membekalkan hingga 60 peratus,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya