ALOR SETAR: Kerajaan Kedah membentangkan Belanjawan 2024 sebanyak RM1.24 bilion dengan jangkaan defisit dianggarkan pada 13.92 peratus atau RM104.1 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, peruntukan perbelanjaan mengurus yang disediakan dalam bajet tersebut berjumlah RM852.1 juta dengan RM100.39 juta daripadanya diperuntukkan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.
Katanya, peruntukan sebanyak RM211.77 juta pula bagi Kumpulan Wang Pembangunan Negeri, manakala RM263.58 juta dicadang sebagai peruntukan Kumpulan Wang Perbelanjaan Bekalan Air serta RM14.75 juta untuk Pembangunan Hutan.
“Kerajaan negeri menganggarkan anggaran hasil berjumlah RM748 juta, peningkatan sebanyak RM13 juta atau 1.77 peratus berbanding tahun lalu. Daripada jumlah ini, penyumbang terbesar adalah daripada hasil cukai iaitu RM354.23 juta atau 47.36 peratus.
“Diikuti hasil bukan cukai menyumbang 29.87 peratus atau RM223.42 juta dan terimaan bukan hasil pula berjumlah RM170.35 juta atau 22.77 peratus,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Katanya, kerajaan negeri menetapkan tiga strategi utama dalam penyediaan belanjawan tahun depan dengan 12 fokus dan 50 Inisiatif untuk memastikan peruntukan yang diletakkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi memenuhi mandat rakyat.
Sementara itu, beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan Peruntukan Kumpulan Wang Perbelanjaan Bekalan Air, RM262.3 juta adalah daripada Kumpulan Wang Pinjaman manakala RM1.28 juta adalah daripada sumber kerajaan negeri.
“Peruntukan kerajaan negeri adalah bagi pengambilan tanah untuk dua projek bekalan air iaitu Projek Menambah Keupayaan Loji Rawatan Air (LRA) Jenun Baru dan Projek Menaiktaraf LRA Sungai Limau. Kos pembinaan bagi kedua-dua projek ini dibiayai secara geran di bawah peruntukan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC),” katanya.
Dalam pada itu, ketika sidang akhbarnya, Muhammad Sanusi mengakui belanjawan itu tidak bersifat populis sebaliknya dirangka secara realistik dengan mengimbangi hasil dan perbelanjaan ke arah merealisasikan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’.
“Semangat belanjawan ini adalah kebajikan rakyat dan kecekapan kerajaan negeri memperkemas pentadbiran awam. Tidak ada pengabaian dan ketirisan untuk semua perkara penting dalam bajet. Tak ada ‘parti’, joli-joli. Ini belanjawan solid untuk rakyat.
“Bajet tak popular, mungkin bonus (kakitangan awam negeri) itu popular sikit. Lain-lain ada yang kita kerat (potong) sikit, ada yang dapat dan ada yang tak dapat,” katanya.
Menyentuh tentang defisit, kata beliau, kerajaan negeri mengunjurkan pendapatan daripada hasil rizab termasuk hasil tambahan seperti penerokaan unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik yang akan bermula tahun depan.
“Defisit ini akan ditampung kerana kita ada rizab kerajaan negeri. Kebiasaannya anggaran memang macam itu tetapi di peringkat pelaksanaan kita ada program untuk pastikan aliran tunai kerajaan negeri stabil. Tak ada masalah, kita ada rizab yang banyak tahun ini. Hasil tahun depan adalah RM748 juta sedangkan tahun ini RM745 juta,” katanya. –UTUSAN