Bekas pemandu lori terlepas hukuman mati, diganti penjara 20 tahun

Bekas pemandu lori terlepas hukuman mati, diganti penjara 20 tahun

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bekas pemandu lori terlepas hukuman mati setelah Mahkamah Rayuan hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara 20 tahun kerana menyebabkan kematian isteri dengan cara mencekiknya, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara meminda pertuduhan terhadap Satvender Singh daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu atas kesalahan membunuh kepada Seksyen 304(a) kanun sama.

Mahkamah turut mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap Satvender, 36, atas kesalahan membunuh bayi perempuan mereka yang ketika kejadian berusia tujuh bulan. Panel berkenaan tidak mempertikai dapatan pakar patologi bahawa bayi itu mungkin mati tersedak selepas susu ditemukan dalam paru-parunya, bukan ditekup dengan bantal seperti intipati kes pendakwaan.

Ketika di Mahkamah Tinggi Shah Alam, lelaki itu didakwa membunuh D. Kamaljit, 34, dan bayi mereka, Ishilyn Kaur Sandhu di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Rawang Perdana 2, Rawang antara pukul 3.55 pagi dan 4.15 pagi pada 14 April 2016.

Keterangan kes menunjukkan, pada hari kejadian wanita itu dan anaknya ditemukan dalam bilik tidur oleh bapanya dan jiran. Mangsa dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan kesan cekikan pada leher manakala bayi tersebut di atas katil dengan bantal di sebelahnya.

Hakim Vazeer Alam yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah mengguna pakai bidang kuasa rayuan serta mengetepikan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos 2021. Mahkamah mengambil kira hubungan perayu dan mangsa sebagai suami isteri dan kematian tragik wanita itu dalam usia yang masih muda.

“Mahkamah mendapati tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman mati kerana membunuh isterinya, kami menggantikannya dengan hukuman penjara 20 tahun,” ujar Hakim Vazeer Alam ketika menyampaikan keputusan itu.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Komathy berkata, Mahkamah Tinggi memanggilnya membela diri namun tidak menyatakan secara spesifik di bawah cabang mana pendakwaan membuktikan kes mengikut Seksyen 300 Kanun Keseksaan.

“Kegagalan hakim bicara berbuat demikian merupakan satu kekhilafan yang sangat serius dan menyebabkan haknya dinafikan untuk mendapat perbicaraan yang adil,” ujar beliau.

Pada hemat panel itu, wujud keterangan bahawa Satvender mencekik leher isterinya sehingga menyebabkan kecederaan dalaman, membuktikan perayu berniat untuk menyebabkan kematian mangsa.

Terdahulu, peguam bela perayu, Datuk Rajpal Singh memohon anak guam dipenjara 10 tahun atas alasan dia menyesal dan tidak akan mengulangi perbuatannya.

“Anak guam tidak mempunyai rekod jenayah lain serta telah berada dalam penjara selama tujuh tahun dan tujuh bulan. Dia telah memohon maaf kepada keluarga isterinya. Perayu mahu menanggung keluarga manakala ibunya yang kini berusia 60 tahun, tinggal berseorang selepas kematian suami dua bulan lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah sebaliknya memohon hukuman penjara minimum 20 tahun atas alasan kesalahan itu serius apabila wanita itu mati dicekik oleh suami sendiri dalam usia muda.

Sementara itu, mahkamah turut membenarkan peguam pemerhati, RSN Rayer yang mewakili ibu mangsa, Pajen Kaur, 74, mengemukakan rayuan berhubung pernyataan impak mangsa (Victim Impact Statement) sebelum hukuman dijatuhkan.

Rayer berhujah, ibu mangsa mengalami trauma dan tidak boleh melupakan kejadian itu kerana Kamaljit seorang anak penyayang dan baru berkahwin selama dua tahun selain kehilangan satu-satunya cucu perempuan.

Mahkamah Tinggi dalam keputusannya menolak pembelaan alibi tertuduh bahawa dia keluar rumah untuk bersarapan pada 3.55 pagi di sebuah kedai makan selama sejam setengah sebelum sampai ke pejabat pada 5.44 pagi.

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa berpuas hati, pembelan alibi itu tidak mempunyai kesinambungan kerana tertuduh adalah orang terakhir di tempat kejadian dan keluar dari situ selepas pukul 4.30 pagi. Mahkamah turut menolak pembelaan tertuduh bahawa kejadian itu berlaku disebabkan rompakan di rumahnya yang telah dipecah masuk. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN