Bekas pelatih PLKN rindu guling atas jalan tar, terserempak

Bekas pelatih PLKN rindu guling atas jalan tar, terserempak jelmaan putih

FARAHWAHIDA menjalani aktiviti fizikal ketika menjadi pelatih PLKN di Kem Nasuha, Pagoh pada 2005.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 pada tahun depan yang hangat diperkatakan kini mengimbau kenangan berharga bagi bekas pelatih program itu.

Bagi Farahwahida Ahmad, 36, terlalu banyak kenangan suka dan duka ketika mengikuti latihan fizikal selama tiga bulan kira-kira 18 tahun yang lalu di Kem Nasuha, Pagoh di sini pada 2005.

“Saya masih ingat lagi apabila kami satu kompeni (Charlie) seramai 40 orang dikejutkan pada pukul 3 pagi dan diarahkan tidur di atas jalan tar kerana salah seorang daripada kami melanggar peraturan kem.

“Tidak ketinggalan juga kami kena denda guling atas jalan tar pada pukul 3 petang kerana lambat berkumpul di padang kawad. Memang salah kami.

“Satu lagi peristiwa yang masih segar dalam ingatan adalah kami beramai-ramai masuk ke dalam hutan kelapa sawit menjalani silibus ikhtiar hidup dan terserempak dengan jelmaan putih yang berbau harum,” katanya kepada pemberita hari ini.

Selain aktiviti fizikal, ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, pelatih turut didedahkan dengan pembelajaran mengenai institusi perlembagaan, pilihan raya dan sejarah Malaysia yang merupakan salah satu silibus dalam latihan yang dikendalikan jurulatih tentera yang terlatih.

“Semua aktiviti fizikal dan kerohanian tidaklah keterlaluan, dalam ketegasan disiplin ia juga menerapkan nilai-nilai moral yang baik, itu yang membentuk saya menjadi insan yang berani sekarang,” tambahnya.

Tambah Farahwahida lagi, bekas pelatih yang digelar wira (lelaki) dan wirawati (wanita) ini juga boleh dijadikan pelatih bagi membantu jurulatih utama apabila PLKN ini dilaksanakan semula tahun hadapan.

Bagi Khairunnisak Jamal, 36, yang menjadi pelatih PLKN di Kem Kampung Ovai Papar, Sabah, kurang bersetuju dengan pengenalan semula program latihan ini.

Katanya, pelaksanaan program berkenaan menelan belanja yang tinggi dilihat tidak sesuai diadakan dalam keadaan ekonomi negara ketika ini.

“Sekiranya ia program ini dihidupkan semula, diharapkan kerajaan dapat semak semula modul program ini dengan menekankan nilai agama, modul sebelum ini seperti tidak berkesan kepada peserta.

“Selain tumpu pembangunan modal insan, pelatih perlu juga dengan kemahiran tambahan untuk tingkatkan pendapatan ekonomi keluarga dan negara,” kongsinya. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya