Bekas pelakon Gerak Khas terlibat kemalangan tiga kereta - Utusan Malaysia

Bekas pelakon Gerak Khas terlibat kemalangan tiga kereta

TANGKAP layar rakaman CCTV kemalangan tiga kenderaan melibatkan bekas pelakon Gerak Khas di Batu 6, Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah, Perak semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Bekas pelakon drama bersiri Gerak Khas, Datuk Shaharon Anuar Abdul Latif terlibat kemalangan membabitkan tiga buah kereta di Batu 6, Jalan Tanjung Tualang di sini semalam.

Akibat kemalangan itu, Shaharon Anuar, 61, yang juga pesara kanan polis dan isterinya, Datin Norasmariah Basri, 46, mengalami sakit di bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan membabitkan tiga buah kereta itu pada pukul 3.15 petang.

Katanya, kejadian berlaku ketika kereta jenis Perodua Kancil dan Perodua Kelisa dipandu lelaki berusia 29 dan 38 tahun itu dalam perjalanan dari arah Tanjung Tualang ke Batu Gajah manakala kereta Proton Perdana dipandu bekas Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Kuala Lumpur itu pula dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di satu simpang tiga, pemandu kereta Perodua Kelisa telah memperlahankan kenderaannya untuk membelok ke simpang kanan, namun telah dilanggar dari belakang oleh kereta Perodua Kancil.

“Pelanggaran tersebut menyebabkan kereta Perodua Kelisa yang dinaiki empat beranak itu masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Proton Perdana,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Kelisa alami sakit di bahagian dada manakala isterinya yang berusia 34 tahun pula luka di bahagian pinggang.

Katanya, dua anak pasangan itu masing-masing berusia lapan dan satu tahun pula luka di kepala.

“Dalam kejadian itu, pemandu Perodua Kancil turut sakit di bahagian dada. Kesemua mereka dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan manakala Shaharon Anuar dan isteri pula dirujuk ke Perak Comunity Specialist Hospital (PCHS).

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN