Bekalan elektrik lif dipotong, OKU terpaksa mengesot guna tangga

Bekalan elektrik lif dipotong, OKU terpaksa mengesot guna tangga

R. Parthiban menggunakan tongkat untuk turun dan naik ke rumahnya di Pangsapuri Sutera Wangi, Batu Berendam, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gara-gara kegagalan pihak pengurusan melunaskan tunggakan bil elektrik mencecah RM380,000, hampir 2,000 penduduk Pangsapuri Sutera Wangi, Batu Berendam di sini tidak dapat menggunakan kemudahan lif, berikutan bekalan elektrik dipotong sejak seminggu lalu.

Situasi itu jelas mendatangkan kesukaran terutama kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang terpaksa menggunakan tangga untuk turun dan naik ke rumah masing-masing di bangunan tujuh tingkat berkenaan.

Seorang penduduk OKU, R. Parthiban, 44, berkata, meskipun kelonggaran pembayaran secara ansuran telah diberikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selama lebih empat tahun, namun pengurusan pangsapuri masih tidak dapat melangsaikan hutang itu.

Katanya, sebagai OKU yang kudung kaki kiri, dia mengambil masa hampir 40 minit untuk turun dari rumahnya di tingkat enam menggunakan tongkat dan adakalanya perlu mengesot akibat kepenatan.

“Lif pangsapuri beroperasi dengan menggunakan generator, itupun hanya pada waktu puncak iaitu pukul 6 pagi sehingga 8.30 pagi dan pukul 6 petang sehingga 9.30 malam.

“Saya duduk dengan anak angkat, kalau dia tiada saya terpaksa turun sendiri menggunakan sebelah kaki, bila penat saya terpaksa mengesot. Saya kudung kaki kiri sejak 20 tahun lalu akibat kemalangan,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, TNB terpaksa membuat pemotongan setelah perjanjian bayaran ansuran gagal dipatuhi.

Katanya, pihak pengurusan perlu berunding semula dengan TNB bagi mencari penyelesaian secara ‘menang-menang’ demi kemudahan penduduk pangsapuri berkenaan.

“Perundingan semula dengan TNB perlu dilakukan bagi mengkaji semula kaedah kutipan serta kadar fi bulanan untuk memastikan pendapatan mencukupi menampung perbelanjaan pangsapuri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya