Bayi lelaki dalam beg ditinggalkan di belakang rumah kedai - Utusan Malaysia

Bayi lelaki dalam beg ditinggalkan di belakang rumah kedai

BAYI lelaki yang dijumpai ditinggalkan di tepi longkang belakang rumah kedai di Ayer Tawar dekat Lumut. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang bayi lelaki yang diletakkan dalam beg dijumpai ditinggalkan di tepi longkang belakang rumah kedai di Ayer Tawar, dekat sini semalam.

Bayi tersebut ditemui oleh seorang lelaki berusia 45 tahun kira-kira pukul 8.15 malam sebelum menghubungi pihak polis bagi memaklumkan penemuan tersebut.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, bayi tersebut dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) dan kini berada di Unit Jagaan Rapi Bayi (NICU) untuk rawatan serta pemantauan lanjut oleh pihak HSM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Hasil pemeriksaan lanjut oleh doktor mendapati tiada sebarang kecederaan luaran dan bayi berada dalam keadaan sihat,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu ibu bapa yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, mendedahkan serta membuang kanak-kanak itu dengan niat.

Tegasnya, jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Beliau memaklumkan usaha mengesan suspek yang membuang bayi tersebut serta waris kanak-kanak itu sedang giat dilakukan.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kes tersebut agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Nur Munawara Ahmad di talian 011-16240391. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya