Bas, van pekerja disita, pemandu tiada lesen

Bas, van pekerja disita, pemandu tiada lesen

LOKMAN Jamaan melihat kenderaan yang disita ketika Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Perkhidmatan Awam (JPJ-JIM) di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah enam buah kenderaan komersial termasuk bas dan van pekerja yang membawa pekerja sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, terpaksa disita atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Dalam Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Perkhidmatan Awam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu, empat daripada kenderaan komersial itu dipandu oleh pemandu warga asing.

Pengarah Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, enam kenderaan itu disita di beberapa laluan masuk ke Putrajaya dari Kajang dan Puchong menerusi operasi bermula pukul 3 hingga 9 pagi tadi.

Beliau berkata, sebanyak 21 kenderaan membawa pekerja asing diperiksa dalam operasi itu membabitkan 12 buah bas dan sembilan buah van pekerja.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, empat buah kenderaan itu dipandu warga asing dan kesemua mereka tiada lesen memandu sah serta lesen memandu kenderaan komersial.

“Sebanyak 32 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans dan menyalahguna kenderaan syarikat serta persendiriaan untuk membawa pekerja.

“Operasi khas ini dilaksanakan susulan banyak rungutan diterima orang awam dan pengguna jalan raya mengenai pekerja asing memandu kenderaan komersial terutama bas dan van pekerja,” katanya sejurus selesai operasi khas itu, hari ini.

Katanya, sepanjang 13 hari operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) bermula awal bulan ini, sebanyak 224,616 kenderaan komersial diperiksa di seluruh negara dan 21,327 kenderaan dikenakan tindakan.

Lokman berkata, sepanjang tempoh sama, sebanyak 2,665 notis kesalahan dikeluarkan kepada pemandu warga asing termasuk tiada lesen memandu yang sah.

Katanya, pihaknya mengingatkan majikan supaya tidak menggunakan khidmat PeWA kerana mereka ini tiada lesen memandu sah, malah langsung tidak dilatih untuk mengendalikan kenderaan komersial.

“PeWA adalah satu kesalahan yang amat besar kerana boleh mengundang risiko bukan sahaja kepada pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Katanya, kebanyakan kenderaan komersial yang diperiksa mendapati ia masih boleh digunakan untuk mengangkut penumpang, malah mematuhi had usia kenderaan dan spesfikasi teknikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya