Banjir: Ibu baru bersalin berpantang di PPS - Utusan Malaysia

Banjir: Ibu baru bersalin berpantang di PPS

ROBI Mohd. (kiri) bersama bayinya ketika berada di PPS SK Chendering, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang ibu berpantang di rumah sendiri setelah melahirkan anak bertukar menjadi pengalaman cemas apabila kediamannya dilanda banjir, semalam.

Situasi itu memaksa Robi Mohd., 40, yang tinggal di Kampung Gong Tok Nasek di sini meneruskan pantang di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering di sini.

Lebih ngeri lagi apabila Robi sebelum itu bertarung nyawa meredah air banjir setinggi 0.3 meter bersama bayi lelakinya yang berusia empat hari sejauh hampir 400 meter ke sebuah masjid terdekat.

Ibu kepada lapan orang anak itu, berkata, suaminya, Badrul Hashim Badurddin, 39, berulang-alik membawa mereka sekeluarga ke masjid terbabit sebelum dibawa pasukan penyelamat ke PPS.

“Lazimnya memang kawasan didiami kami ini dilanda banjir tetapi kejadian semalam berlaku sangat cepat apabila paras air naik secara mendadak memaksa saya berpindah kerana air naik semakin tinggi.

“Tambahan pula saya risau dengan keselamatan anak-anak yang masih kecil dalam suasana banjir selain keadaan dan kesihatan saya yang bersalin anak kelapan Sabtu lalu.

“Saya kemudian ambil keputusan berpindah ke PPS apabila rumah mula digenangi air, pagi semalam, ekoran cuaca buruk dan hujan berterusan di daerah ini,” ujarnya ditemui di PPS SK Chendering, di sini, hari ini.

Menurut wanita itu lagi, dia tidak menyangka melalui sendiri situasi berpantang di PPS setelah hanya membaca kisah itu yang menimpa wanita lain melalui media sosial dan televisyen sebelum ini.

Jelas Robi, ia merupakan pengalaman pertama berpindah ke PPS sejak menetap di kawasan itu lapan tahun lalu dan kejadian mengharung air banjir bersama anak berusia empat hari akan kekal dalam ingatan.

“Perasaan memang berdebar kerana anak masih baru lagi, empat hari, selain anak-anak lain yang masih kecil. Mujur suami sentiasa ada di sisi menemani dan memastikan keselamatan kami.

“Selepas terpaksa meredah banjir ke masjid, kami di bawa ke PPS ini dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama beberapa orang penduduk lain,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya