Bangunan runtuh, pemilik resort bakal berdepan dibawa ke muka pengadilan - Utusan Malaysia

Bangunan runtuh, pemilik resort bakal berdepan dibawa ke muka pengadilan

KEADAAN bangunan di sebuah resort yang runtuh di Pulau Perhentian, Besut pada minggu lalu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pemilik sebuah resort bakal berdepan kemungkinan dibawa ke muka pengadilan selepas sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan runtuh sehingga meragut nyawa dua pekerja di Besut pada minggu lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu, Mohd. Zahari Hitam berkata, buat masa ini, pihaknya masih menunggu laporan daripada siasatan pihak berkuasa.

Menurut beliau, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap pemilik resort itu sekiranya didapati melanggar peraturan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 1994.

Malah Mohd. Zahari berkata, pihaknya turut tidak menolak kemungkinan tindakan tegas turut boleh diambil terhadap pemilik resort termasuk daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menjalankan siasatan.

“Dalam kes ini, kita masih belum tahu punca berlaku runtuhan bangunan yang masih dalam pembinaan itu sama ada wujud perlanggaran peraturan atau semulajadi (tanah runtuh).

“Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga sedang menjalankan siasatan terperinci dan jika ada unsur melanggar peraturan atau akta, kita akan ambil tindakan.

“Pendakwaan boleh mengikut Seksyen 15(1) Akta KKP 1994 yang memperuntukkan hukuman penalti sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-dua jika sabit kesalahan,” katanya ketika ditemui selepas Seminar Kesihatan Pekerjaan Zon Pantai Timur 2023 di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 9 November lalu, sebuah bangunan restoran di pulau peranginan itu yang dalam pembinaan runtuh kira-kira 4.30 pagi sehingga memerangkap tujuh pekerja termasuk enam warga asing.

Seorang pekerja warga Indonesia ditemukan maut selepas terperangkap lebih 24 jam manakala seorang lagi juga dari Indonesia meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

Difahamkan, bangunan restoran tiga tingkat itu dibina secara haram pada 2020 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak mendapat kebenaran PBT berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya