Bandar angkasa negara bakal dibangunkan - Utusan Malaysia

Bandar angkasa negara bakal dibangunkan

Bandar angkasa
AZLIKAMIL NAPIAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal membangunkan sebuah bandar angkasa yang dijangka dalam masa tiga tahun dapat menjadi pemangkin pengembangan kepakaran tempatan dalam industri tersebut.

Menurut, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah berkata, perkara tersebut dan perinciannya akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat yang merupakan salah satu daripada tiga projek besar sedang dibangunkan.

Menurutnya, menerusi projek tersebut, ia dijangka menarik pelabur dari luar negara, dengan menyasarkan industri teknologi angkasa mampu menyumbang satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM10 bilion menjelang 2030.

“Bandar angkasa atau space city kita merancang ia boleh dibangunkan industri pembuatan, komponen berkaitan angkasa, memanfaatkan kawasan itu untuk dijadikan operasi kawalan dan mungkin juga boleh membangunkan universiti baru dalam sektor teknologi angkasa. 

“Kita ingin memanfaatkan keupayaan negara dalam aeroangkasa, kita dah ada MRO (Maintenance, repair and overhaul) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dan kita juga ingin perkasakan sedikit lagi industri ini supaya ada keupayaan.

“Justeru kita akan tingkatkan pembangunan bandar angkasa dengan bandar aeroangkasa yang sedia ada. Lokasinya dimana, itu kerajaan akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Selain projek bandar angkasa, tambah Azlikamil lagi, terdapat dua lagi projek lain yang kini dalam usaha untuk dibangunkan iaitu pembangunan setelit penderiaan jauh negara serta perkhidmatan pelancar roket.

Katanya, ketiga-tiga projek besar ini melibatkan usaha sama dengan universiti tempatan untuk mengadakan sebanyak mungkin program-program dengan negara luar melibatkan ilmu sains angkasa. 

“Sejak bulan Mei, saya telah menerima banyak pertanyaan dan permintaan daripada beberapa buah negara seperti Amerika, Rusia, Perancis, India, Ukraine, Scotland, Jepun dan China. Negara-negara ini kerap datang ke Malaysia dan menawarkan pelaburan kepada kita untuk dipertimbangkan. 

“Hasrat kita adalah supaya teknologi angkasa ini dapat diteruskan dan ia memerlukan kesinambungan, jadi dengan ini, ia mampu menyediakan sekurang-kurangnya 5000 peluang pekerjaan dalam memastikan pembangunan operasi teknologi angkasa dapat diteruskan kerana kita juga faham teknologi angkasa berubah dengan begitu pantas. 

“Pada saya, sudah tiba masanya Malaysia meletakkan negara kita sebagai tiga teratas di rantau Asia dalam teknologi angkasa,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai cabaran yang dilalui kini, Azlikamil turut berkata, bilangan industri yang terlibat dalam teknologi angkasa masih rendah meskipun Malaysia maju dalam bidang aeroangkasa.

Justeru, katanya lagi, usaha perlu dipergiat supaya Malaysia tidak terus ketinggalan.

“Di peringkat global, negara-negara luar sudah mula teroka dalam bidang baru new space economy. dalam waktu kini, Malaysia perlu memanfaatkan agenda baru berasaskan ekonomi kerana bilangan industri yang terlibat masih lagi di peringkat awal dan belum begitu banyak seperti pembuatan, pembangunan aplikasi, perkhidmatan, ataupun penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Dalam hal ini, kita sudah merancang bagaimana kita mahu mempromosikan kerjasama strategik dengan pihak luar yang jauh lebih maju ke hadapan. Jadi, kita melalui landasan dengan kerajaan umpamanya ataupun dalam konteks bilateral, kerjasama dua hala dan kita akan mempromosikan perkara ini bukan sahaja melalui agensi kerajaan, malah perniagaan kepada perniagaan.

“Jadi ini akan boleh mempercepatkan lagi keupayaan industri tempatan kita dalam meneroka teknologi angkasa,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya