IPOH: Jepun meraih tiga daripada lima acara akhir Badminton Cabaran Antarabangsa Petronas Malaysia 2023 di Arena Badminton Perak di sini hari ini
Pasukan negara matahari terbit itu muncul juara dalam perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki.
Tuan rumah, Malaysia tidak pulang tangan kosong apabila memenangi acara beregu campuran manakala Taiwan muncul juara acara
beregu wanita.
Pemain Jepun, Minoru Koga merangkul kejuaraan perseorangan lelaki selepas menundukkan rakan senegara, Takuma Kawamoto, 21-17,
10-21 dan 21-11 dalam pertarungan selama satu jam.
Kemenangan kedua Jepun diraih melalui Miho Kayama dalam acara perseorangan wanita.
Dia mengetepi pemain profesional negara, Wong Ling Ching yang memberi tentang sengit dalam set pertama sebelum tewas 23-21, 21-16.
Sementara itu, dalam acara beregu wanita, pemain negara, Ng Qi Xuan dan pasangannya, Yap Yee tewas kepada lawan dari Taiwan, Lin Chih Chun-Sung Yu Hsuan straight set 11-21; 18-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 38 minit.
Dalam satu lagi perlawanan beregu lelaki, Takuto Inoue-Masayuki Onodera terpaksa bertarung selama satu jam dua minit dalam permainan yang diheret ke rubber set sebelum menghampakan pasangan Muhammad Fazriq Mohamad Razif-Wong Vin Sean 21-16, 18-21, 21-14. – UTUSAN