Badan Perundangan Negeri Kelantan ada kuasa gubal 18

Badan Perundangan Negeri Kelantan ada kuasa gubal 18 peruntukan undang-undang dipertikai

NIK Elin (kanan) ketika tiba di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu, Badan Perundangan Negeri Kelantan mempunyai bidang kuasa menggubal 18 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berhujah, tiada satu pun peruntukan undang-undang yang dicabar oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, tertakluk di bawah 27 senarai undang-undang Persekutuan.

Hujahnya, kuasa Parlimen adalah menggubal undang-undang dalam senarai Persekutuan yang mengandungi 27 item, namun ia tidak boleh menggubal undang-undang di luar daripada 27 item yang disenaraikan.

“Kami hujahkan bahawa kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang tidak boleh diandaikan meliputi semua undang-undang jenayah, tetapi hanya tertakluk kepada senarai Persekutuan,” katanya.

Hujah beliau, Nik Elin dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman juga gagal membuktikan bahawa penggubalan 18 peruntukan itu tidak selari dengan undang-undang syariah dan kekeluargaan Islam yang mewajarkan ia dibatalkan oleh mahkamah.

Mohamed Haniff Khatri berhujah mewakili Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) selaku peguam pemerhati pada pendengaran petisyen Nik Elin dan anaknya bagi mencabar 18 peruntukan dalam enakmen itu.

Selain PPMM, Yusfarizal Yussoff mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) manakala yang lain iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Badan Peguam Malaysia turut bertindak selaku pemerhati.

Mahkamah turut mendengar penghujahan pihak-pihak yang bertindak selaku sahabat (Amicus Curiae) dalam petisyen tersebut iaitu Sisters In Islam Forum (SIS) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

SIS dan Badan Peguam menyokong petisyen Nik
Elin manakala yang lain membantahnya.

Pada 17 Ogos lalu, mahkamah mendengar penghujahan peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili kedua-dua pempetisyen dan Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif mewakili Kerajaan Negeri Kelantan manakala Yusfarizal bagi pihak Maidam.

Malik Imtiaz berhujah, 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu bertindan dengan undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama manakala Badan Perundangan Negeri Kelantan tiada kuasa untuk menggubal peruntukan undang-undang tersebut.

Hujah beliau, 18 peruntukan tersebut tidak sah kerana peruntukan undang-undang jenayah yang dipertikaikan itu merupakan bidang kuasa Parlimen.

Sementara itu, Kamaruzaman berhujah, peruntukan yang dicabar itu merupakan kesalahan yang dilakukan terhadap perintah agama Islam yang termasuk di bawah Butiran 1, Senarai Negeri, bukan undang-undang jenayah yang tertakluk kepada Butiran 4(h), Senarai Persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim bersidang kemudian menangguhkan keputusan pada satu tarikh lain.

Panel itu turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai panel, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P. Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN