Ayam segar dijual RM1 seekor di Kuala Nerus

Ayam segar dijual RM1 seekor di Kuala Nerus

MOHD. SulaImi Hassan (tengah) menyapa salah seorang pelanggan di premisnya di Kampung Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Sebanyak 200 ekor ayam segar yang dijual pada harga RM1 seekor laris apabila habis dalam masa 10 minit di Kampung Wakaf Tembesu di sini, hari ini.

Peniaga, Mohd. Sulaimi Hassan, 54, berkata, harga promosi itu ditawarkan kepada orang ramai sempena pembukaan kedai ayam baharu miliknya.

Menurutnya, idea berkenaan timbul bagi membolehkan lebih ramai mendapatkan sumber protein itu pada harga mampu milik selain menghargai pelanggan setianya.

Katanya, pada awalnya, dia memperuntukkan hanya 100 ekor ayam segar sebelum menambah 100 ekor lagi bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Saya tidak sangka orang ramai datang beratur seawal pukul 6.45 pagi sebelum saya memulakan perniagaan lagi, sedangkan kedai hanya beroperasi pukul 7.30 pagi.

“Hebahan pula dibuat melalui media sosial Facebook dan mungkin kerana tular, ayam berharga RM1 seekor ini laku keras dalam kalangan penduduk sekitar.

“Hanya 100 ekor dijual kepada pelanggan terawal namun saya terpaksa menambah 100 ekor lagi untuk tidak menghampakan pelanggan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Sulaimi, selepas 200 ekor ayam RM1 terjual dalam masa hanya 10 minit, dia kembali menjual pada harga runcit RM6.99 sekilogram (kg).

Sementara itu kakitangan awam, Nur Syazwani Alias, 37, berkata, dia datang ke premis berkenaan pukul 7 pagi dan mendapati pelanggan sudah beratur panjang.

“Walaupun setiap pembeli dihadkan kepada seekor ayam sahaja, saya rasa berbaloi kerana tidak ada ayam segar berharga RM1 seekor hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya