PETALING JAYA: Lama menghilang, penyanyi, Awie Rafael kembali dengan single, Hanya Tuhan Yang Tahu.
Lagu, yang sebelum ini dipopularkan kumpulan UNIC itu, mendapat sentuhan baharu, kedengaran berbeza berbanding versi asal.
“Ia sepenuhnya versi saya sendiri. Sebelum menerbitkannya, saya kaji versi penyanyi asal.
“Bagi saya lagu ini unik dan saya selesa menyanyikannya.
“Ia lagu nasyid yang popular pada zamannya. Justeru bukan mudah untuk ubah genrenya kepada pop rock yang disampaikan dengan teknik nyanyian berbeza,” katanya dalam kenyataan.
Lagu ini juga bakal menjadi runut bunyi drama TV3, Di Wadi Safiyyah yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
Hanya Tuhan Yang Tahu sebelum ini diterbitkan pada 2015.
Awie dalam pada itu berharap peminat menerima versi baharu itu dan menghargai usahanya mengembalikan kegemilangan lagu lama.
“Saya harap peminat Malaysia tetap sokong karya-karya saya tahun ini dan tahun hadapan.
“Saya berazam untuk terus berkarya supaya generasi muda lebih mengenali lagu evergreen seperti ini,” jelasnya.