Audit subsidi minyak masak dijangka siap hujung Januari

Audit subsidi minyak masak dijangka siap hujung Januari

ARMIZAN Mohd. Ali bercakap pada sidang akhbar selepas Simposium Kos Sara Hidup Tahun 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perincian laporan mengenai audit subsidi minyak masak yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dijangka siap pada penghujung Januari depan.

Pemangku menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pelaksanaan audit secara menyeluruh itu dijalankan sejak bulan lalu membabitkan seluruh peringkat, negeri serta daerah.

“Terdapat dapatan-dapatan tertentu dan saya tidak nafikan wujudnya ketirisan dalam pelaksanaan subsidi minyak masak ini dan dengan adanya audit ini kita dapat membuat penilaian berapakah keperluan sebenar dan bagaimana kaedah untuk kita perkemaskan.

“Subsidi (itu) perlu, tapi perlu dilaksanakan dengan ada mekanisme untuk kurangkan ketirisan dan penyelewengan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Simposium Kos Sara Hidup Tahun 2023 di sini hari ini.

Menurut Armizan, Kementerian Kewangan (MOF) memperuntukkan subsidi minyak masak berjumlah RM500 juta bagi tahun ini, namun unjuran menunjukkan peningkatan hampir empat kali ganda iaitu RM1.9 bilion.

“RM500 juta hanya cukup untuk menampung dua bulan iaitu Januari dan Februari, sekarang kita unjurkan sehingga penghujung tahun ini kita perlukan RM1.9 bilion hanya untuk subsidi minyak masak, itu sebabnya kita perlu melihat semula (subsidi),” ujarnya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, Jemaah Menteri sudah membuat keputusan dasar mengenai mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar minyak petrol RON95 yang dijangka bermula tahun hadapan.

Bagaimanapun Armizan tidak memberi perincian lanjut mengenai keputusan dasar tersebut dengan mekanisme secara menyeluruh pelaksanaan subsidi itu akan dibentangkan terlebih dahulu oleh Kementerian Ekonomi dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Semalam, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan akan melaksanakan program subsidi bersasar RON95 pada 2024 sebagai langkah untuk mengoptimumkan sumbernya kepada golongan yang paling memerlukannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya