KUALA NERUS: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus komited sepanjang Operasi Murni (Op MURNI) yang dijalankan ketika menyelamat mangsa banjir di Terengganu sejak Isnin lalu.
Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Aizuddin Hassan berkata, antaranya ialah kadar respons yang lebih pantas dalam menyediakan bantuan tentera dan peralatan logistik kepada mangsa banjir yang terlibat.
Menurutnya, dalam masa yang sama, fokus utama Op MURNI ialah memastikan tiada kehilangan nyawa berlaku dalam kalangan orang awam dan tentera ketika operasi menyelamat dijalankan.
“Ketika ini, empat pasukan telah digerakkan di Terengganu iaitu Rejimen 512 Askar Wataniah, Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para), Briged Keempat Infantri Malaysia Mekanize (4 Briged Mekanize) dan Rejimen Kelima Artileri Diraja.
“Pasukan First Responder ATM sentiasa bersedia 24 jam untuk membantu mangsa banjir yang terperangkap di lokasi mengikut aduan yang diterima daripada orang awam tanpa mengira masa.
“Kali ini juga kita mahu lebih ramai anggota wanita digerakkan ke lapangan untuk membantu menyelamatkan mangsa wanita supaya mereka lebih selesa bergerak ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.
Tambahnya, semua aset logistik seperti trak tujuh tan, trak tiga tan, bot dan kenderaan lain juga masih mencukupi untuk mengendalikan situasi bencana ketika ini.
Sementara itu, seorang anggota Rejimen 512 Askar Wataniah (AW), Nurul Aisyah Shafika Salim, 26 berkata, dia gembira dapat menabur bakti kepada mangsa banjir di Terengganu terutama menolong warga emas, Orang Kurang Upaya dan wanita.
“Setiap kali ditugaskan dalam operasi, saya akan terus mencari mangsa wanita seperti ibu baru bersalin atau wanita hamil kerana faham situasi mereka yang lebih selesa dibantu anggota wanita.
“Bertugas di Terengganu juga memberi sedikit kelebihan kerana saya sendiri anak jati Kuala Ibai dan dapat memudahkan komunikasi semasa operasi untuk memastikan semuanya selamat dan lancar,” katanya.
Sementara itu, mangsa banjir yang diselamatkan sejak Isnin lalu berkata, mereka terharu dengan kesungguhan dan keikhlasan yang ATM ketika membantu mereka berpindah ke PPS.
Siti Fatimah Meli, 58, dari Taman Murni Permai berkata, anggota tentera yang datang ke rumahnya mengharung air hampir satu meter dalam gelap untuk menyelamatkan penduduk.
“Alhamdulillah, mereka sangat cekap dan mesra bertanyakan bilangan ahli keluarga yang terperangkap di setiap rumah yang ditenggelami air dan sanggup mendukung warga emas, pesakit terlantar, kanak-kanak serta bayi,” katanya.
Tengku Mohamad Tengku Muda, 68, pula berkata, dia bersyukur kerana proses pemindahan berjalan sangat pantas dan anggota tentera yang terlibat dilihat sangat tenang menyelamatkan orang awam.
“Rasa bertuah kerana Malaysia mempunyai ramai tentera yang terlatih berkhidmat dalam apa juga situasi bencana dan saya berdoa agar semua pasukan penyelamat ATM ini sentiasa sihat untuk terus membantu rakyat jelata,” katanya. – UTUSAN