ALOR GAJAH: Atlet rejam lembing yang mewakili negara ke temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja, Syed Abrar Syed Ahmad Zawawi, 23, menerima Anugerah Pelajaran Diraja bagi Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Ke-19.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik itu aktif bersukan sejak di bangku sekolah dan menempa pelbagai kejayaan sepanjang pengajian di universiti berkenaan.
Syed Abrar berkata, amalan pengurusan masa antara akademik dan sukan terbukti membawa kejayaan apabila dia mencapai purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.73 di akhir pengajian.
“Di samping sibuk fokus mengikuti sesi perkuliahan akademik, saya sentiasa pastikan turun menjalani latihan padang selama dua jam pada sebelah petang antara pukul 5 hingga 7 petang.
“Saya menanam impian menjadi seorang pensyarah, saya akan menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana di UTeM selepas ini dan pada masa yang sama terus mengembangkan bakat sebagai atlet rejam lembing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Syed Abrar yang berasal dari Perlis adalah antara 3,378 graduan yang menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana serta ijazah doktor falsafah (PhD) pada majlis yang berlangsung selama tiga hari, berakhir semalam.
Menurut Syed Abrar, sehingga kini dia berjaya merangkul sebanyak 13 pingat emas dan dua perak daripada 16 kejohanan yang disertainya.
“Antaranya ialah Asean University Games, Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma), MAF National Athletic Championship, Kejohanan Olahraga IPT, Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT), Kejohanan Olahraga IPT Sirkit, Varsity Track and Field dan Temasya Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA),” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah M. Nahvin, 23, iaitu graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) yang mencapai PNGK 3.89.-UTUSAN